Wujudkan semula Majlis Muafakatan Melayu Malaysia

Mohd Yussof
Mohd Yussof
A
A
A

GEORGETOWN - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) digesa supaya mengaktifkan semula Majlis Muafakatan Melayu Malaysia (4M) sebagai langkah mewujudkan sebuah organisasi dialog di negara ini.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, 4M dilahirkan hasil Kongres Permuafakatan Melayu yang berlangsung pada 2 hingga 3 Mei 2008 di Johor Bahru.

Menurutnya, 4M seharusnya dapat menjadi sebuah organisasi dialog kebangsaan, membincang dan mencadangkan penyelesaian isu-isu negara termasuk dari segi politik, ekonomi serta sosial.

“Gagasan 4M ini merentasi pelbagai fahaman politik dan status masyarakat kerana ia disertai oleh semua pertubuhan bukan kerajaan orang Melayu di seluruh negara dan menganjurkan kongres-kongres di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Ismail Ibrahim dipetik sebagai berkata sebuah institusi dialog kebangsaan perlu diwujudkan di negara ini sebagai satu saluran alternatif media sosial.

Ismail dalam kenyataan yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini berkata, menerusi oraganisasi itu isu-isu politik partisan melulu dan melampau, sikap taksub keterlaluan dalam isu perkauman, keagamaan haruslah dibicarakan dengan penuh keadilan serta amanah bagi menegakkan satu peradaban bangsa dan budaya yang tinggi.

Yussof berkata, Gapena semasa pimpinan Allahyarham Tan Sri Dr Ismail Hussein telah bersetuju menjadi penaung gagasan 4M itu dan sedang mencari kaedah penubuhannya tetapi setelah Ismail meninggal dunia, gagasan 4M terus terbantut sehingga sekarang.

Katanya, penubuhan institusi 4M itu sebenarnya tidak perlu didaftarkan kerana ia boleh diwujudkan sebagai sebuah majlis sahaja dan Pulau Pinang telah memulakan langkah itu dengan mewujudkan Majlis Muafakat Melayu Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

“Di Pulau Pinang, Pemenang menjadi penaungnya dan anggota-anggota majlis ialah semua NGO Melayu yang berdaftar di negeri ini dan Gapena bolehlah mengambil contoh kaedah yang sama untuk mewujudkan 4M”, katanya.

Mengulas lanjut, Yussof berkata objektif 4M telah dirangka semasa Kongres Pemuafakatan Melayu di Johor Bahru iaitu untuk melaksanakan sembilan rukun yang mencakupi; kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri Melayu.

Rukun itu juga termasuklah memelihara kemuliaan Islam sebagai agama persekutuan, insitusi Raja-Raja Melayu, demokrasi dan hak rakyat, kedaulatan undang - undang, kesaksamaan ekonomi, pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebudayaan dan kesenian kebangsaan.

"Matlamat 4M juga ialah mengajak semua NGO Melayu berdaftar di Malaysia untuk sama-sama bermuafakat, berbincang secara jujur masalah, kegusaran dan penyelesaikan masalah yang melanda bangsa Melayu pada hari ini.

“Sebuah jawatankuasa eksekutif Majlis Muafakat Melayu Malaysia ditubuhkan bagi menjalankan amanah yang diberikan oleh NGO Melayu yang menyokong pembentukannya,” katanya.

Tambahnya, resolusi kongres 4M akan diserahkan kepada kepimpinan politik Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu tentang hasrat dan pandangan untuk menjamin kesinambungan masa depan bangsa Melayu yang kukuh bersatu padu di tanah airnya sendiri.

Katanya, menerusi kongres 4M juga, kita akan berusaha agar perbezaan ideologi politik tidak menyebabkan perpecahan sebaliknya dapat menyatupadu apabila muncul isu-isu kepentingan bersama.