PFA diberi tempoh seminggu merayu

No Image Caption
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi tempoh seminggu kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengemukakan rayuan berhubung penyingkiran skuad Singa Utara daripada Liga Malaysia 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan meneliti rayuan tersebut, sebelum membuat keputusan muktamad, dua hari selepas PFA menghantar surat rayuan.

“Kami telah memberikan tempoh tujuh hari kepada PFA, walaupun kebiasaannya adalah 14 hari tempoh rayuan bagi urusan pentadbiran, tetapi memandangkan ia satu kes serius kami memberikan tujuh hari sahaja. Bagi saya sudah tentu jika apa-apa keputusan yang diputuskan kepada mana-mana pihak, mereka akan cuba sedaya upaya untuk membuat rayuan.

“Dalam kes ini jika satu rayuan mahu dibuat, ia harus memiliki alasan cukup kukuh untuk kita ambil kira sebelum keputusan rayuan dibuat," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan wakil PFA di ibu pejabat MFL, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Kevin menjelaskan pihaknya tidak akan menerima penyertaan Terengganu City FC yang dilaporkan berminat menggantikan Perlis dalam saingan Liga Premier 2019 kerana tidak mahu masalah kewangan yang melanda Perlis, turut melanda pasukan lain sehingga mencemar imej Liga Malaysia.

“Jika ada mana-mana pasukan dikeluarkan, berdasarkan keputusan yang telah dibuat pada musim lepas, kita tidak akan menggantikan mana-mana pasukan.

“Jika kita terburu-buru menggantikan pasukan, kita tidak mahu berhadapan masalah yang sama dengan pasukan yang kita masukan itu. Jadi sama seperti tahun lalu, kita akan berjalan dengan 11 pasukan dan tiada pasukan ganti," tegas Kevin.

Ditanya mengenai status tiga perlawanan membabitkan Perlis dalam saingan Liga Premier 2019 sebelum ini, Kevin berkata keputusan tersebut akan dimaklumkan selepas tamat tempoh permohonan rayuan berkenaan, sambil menambah perlawanan keempat Liga Premier di antara Kelantan dan Perlis di Kota Bharu, malam ini adalah ditunda dan bukannya dibatalkan seperti yang dilaporkan sesetengah media tempatan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Ahli Lembaga Pengarah MFL mencapai keputusan sebulat suara semalam, untuk menyingkirkan Perlis daripada saingan Liga Malaysia 2019 setelah mendapati PFA tidak memiliki kewangan kukuh pada musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji.

Penyingkiran Perlis bukanlah perkara baharu kerana MFL pernah menyingkirkan wakil Pahang, Kuantan FA yang tidak turun beraksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam dalam saingan Liga Premier 2018. - Bernama