Lebih banyak pelaburan diperlukan untuk tangani HIV/AIDS

Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Komuniti Aids Antarabangsa (IAS), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman menegaskan lebih banyak pelaburan diperlukan dalam penyelidikan dan pembangunan termasuk dalam usaha mencari vaksin serta penawar untuk HIV/AIDS.

Berucap pada mesyuarat peringkat tertinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan HIV/AIDS, Adeeba memetik program bersama berkaitan HIV/AIDS PBB (UNAIDS) menyebut bahawa negara berpendapatan rendah dan sederhana memerlukan sekitar AS$29 bilion (RM119 bilion) setahun untuk menangani HIV.

Menurutnya, peningkatan 50 peratus dalam pelaburan domestik bagi menangani HIV di negara-negara terbabit sejak 2010, dengan sokongan penaja meningkat tujuh peratus adalah sesuatu yang patut dipuji, namun lebih banyak lagi diperlukan.

Adeeba yang juga Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kos tindak balas terhadap HIV akan meningkat jika kerajaan terus gagal memenuhi komitmen, pembiayaan dan tindakannya untuk menangani penyakit ini.

“Kerajaan tidak mampu memilih (dalam menerapkan) aspek-aspek Strategi AIDS Sedunia dan tidak mampu untuk kurang melabur dari segi kewangan mahupun politik,” tambahnya.

Beliau berkata, peningkatan sumber dan pelaburan itu dapat disalurkan ke arah pencegahan HIV, disesuaikan dengan komuniti berlainan.

Katanya lagi, lebih banyak pelaburan juga boleh dibuat untuk menyokong usaha mengurangkan stigma masyarakat terhadap HIV/AIDS.

"Bidang pelaburan utama yang lain termasuk mencari bukti kukuh, penyelidikan yang dipimpin masyarakat untuk membimbing dasar, amalan dan inovasi berkenaan penyakit ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Adeeba turut mencadangkan agar sumber daya itu ditingkatkan dengan menghasilkan program yang berkesan berdasarkan bukti, mencegah jangkitan baharu, selain menerapkan dasar bersandarkan hak asasi manusia yang menghapuskan ketidaksamaan struktur, punca kesihatan yang buruk.

Beliau turut menyatakan bahawa ketidaksamaan sosial masih menjadi faktor utama penularan HIV.

“Data terbaru UNAIDS menunjukkan bahawa risiko relatif jangkitan HIV dalam kalangan pekerja seks wanita, golongan gay dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, transgender dan individu yang mengambil dadah secara suntikan adalah tinggi secara tidak seimbang.

“Di penjara dan tempat tertutup lain, kelaziman jangkitan HIV adalah enam kali lebih tinggi berbanding populasi umum,” katanya.

Justeru, Adeeba berkata, negara-negara perlu memansuhkan undang-undang dan dasar yang menjenayahkan golongan tertentu dan mendorong ketidaksamaan dalam masyarakat.