X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

KBMC hospital swasta pertama di Kelantan jadi PPV

KBMC menjadi hospital swasta pertama di negeri ini yang diwartakan sebagai PPV bagi pelaksanaan program vaksinasi orang awam.
A
A

KOTA BHARU - Kota Bharu Medical Centre (KBMC) menjadi hospital swasta pertama di negeri ini yang diwartakan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi pelaksanaan program vaksinasi orang awam.

Pengurus Besar KBMC, Mohd Nazri Yaacob berkata, pihaknya memulakan pemvaksinan bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 31 Mei lepas, bertempat di Kompleks Balai Islam, Lundang, di sini.

Menurut beliau, lokasi berkenaan yang ditawarkan tanpa bayaran oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan bertujuan mengelakkan kesesakan pesakit sedia ada di hospital.

“PPV ini beroperasi mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dengan purata seramai 400 orang menerima suntikan sehari.

“Hingga kini kami telah memberi suntikan kepada hampir 3,000 penduduk di negeri ini melibatkan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Balai Islam Lundang di sini pada Khamis.

Pada 27 Mei lepas, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan sebanyak lapan klinik dan sebuah hospital swasta mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 di negeri ini.

Mohd Nazri berkata, pihaknya turut mengambil lima doktor lokum untuk membantu melancarkan operasi di hospital, manakala di PPV berkenaan seramai 35 kakitangan terlibat dengan 20 daripada mereka adalah petugas kesihatan dan selebihnya merupakan sukarelawan.

Ditanya mengenai proses suntikan vaksin, beliau berkata, pihaknya akan menghubungi setiap penerima vaksin sehari sebelum pemvaksinan dan bagi mereka yang tidak dapat hadir, mereka akan digantikan dengan penama lain dalam senarai menunggu.

Menurut Mohd Nazri, pihaknya berbesar hati diberikan kepercayaan oleh KKM untuk menggalas tanggungjawab itu yang merupakan antara tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam usaha membantu mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!