Gadis sanggup jual motosikal bapa untuk jumpa rakan lelaki

Gadis itu menangis dan keliru ditenangkan oleh Monik di Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi pada Selasa. - Foto Agensi
Gadis itu menangis dan keliru ditenangkan oleh Monik di Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi pada Selasa. - Foto Agensi
A
A
A

JAMBI - Demi mahu bertemu rakan lelaki yang dikenali dalam talian di Jakarta, seorang gadis sanggup menjual motosikal bapanya untuk membeli tiket penerbangan termasuk menampung kos perbelanjaan di sana.

Laporan Detik News, gadis masih bersekolah di peringkat menengah bagaimanapun ditemui di Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi dalam keadaan menangis dan bingung.

Melihat keadaan gadis itu dalam keadaan keliru, seorang wanita dikenali Monik yang bertugas di lapangan terbang menghampirinya dan menenangkannya.

“Ketika itu saya melihat remaja tersebut seperti kebingungan, saya menghampirinya dan bertanya keadaannya. Ternyata dia dari Jambi dan hendak ke Jakarta untuk menemui rakan lelaki yang dikenali menerusi permainan dalam talian.

"Difahamkan, wang itu diperoleh hasil jualan motosikal ayahnya. Malah dipercayai dia memberontak dan nekad untuk bertemu lelaki itu tetapi tidak diteruskan kerana keluarganya mengetahui perkara itu setelah video mengenainya tular," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Eksekutif Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi, Agus Supriyanto menjelaskan, remaja itu adalah penumpang yang bakal berlepas ke Jakarta pada Selasa jam 5.45 petang.

"Status penerbangan tersebut dibatalkan kerana gadis itu sendiri yang membatalkannya.

"Lapangan terbang mempunyai peraturan untuk mereka yang bawah umur. Hanya kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun ditemani ibu bapa atau penjaga dibenarkan berlepas tetapi jika berlaku sebaliknya ia perlu pertimbangan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Namun dalam kes gadis yang tular ini, dia tidak termasuk dalam kategori bawah umur dan berhak pergi ke mana sahaja tanpa perlu pengawasan ibu bapa," ujarnya.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan seorang gadis menangis dalam keadaan bingung sambil dipujuk seorang wanita di lapangan terbang di Jambi pada Selasa lalu.