Persewip kekal pendirian bersama PSM

Laporan akhbar Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Sumali
Laporan akhbar Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Sumali
A
A
A

GABUNGAN 11 (G11), bekas ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang bertindak keluar dari badan induk sepak takraw negara tersebut digesa untuk mengkaji semula tindakan masing-masing demi pembangunan sukan tersebut pada masa depan.

Malah menurut Naib Presiden III PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, formula terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk tersebut adalah semua pihak kembali duduk semeja berbincang menyelesaikan isu berkenaan.

Ujarnya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), semua pihak harus berganding bahu untuk bersama memartabatkan sukan warisan itu dan tidak dikawal pihak orang luar yang mempunyai agenda tersendiri.

“PSM sentiasa bersikap terbuka dalam apa jua keadaan demi membaikpulih imej PSM itu sendiri. Jangan ada tangan-tangan ghaib atau agenda-agenda tertentu di luar sana yang lebih memecahbelahkan sesama kita dalam PSM.

“Saya sendiri akan memberikan kerjasama kepada pengurusan PSM yang baharu untuk tujuan ini. Insya-ALLAH. Yang penting bukan saya, bukan individu, yang penting adalah PSM dan sepak takraw negara harus di martabatkan di persada antarabangsa.

“PSM akan mengadakan AGM pada tahun ini, pilihlah Ahli Majlis PSM yang baharu dan terbaik nanti. Insya-ALLAH, saya akan terus bersama PSM dan menyokong sesiapa sahaja yang menerajui PSM dan kepimpinan PSM yang baru nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama Mohd Sumali menegaskan Persewip tetap dengan pendirian untuk bersama PSM yang sedia ada, sudah memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Ismail sebagai presiden semasa Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis PSM sebelum ini.

“Namun, saya menghormati keputusan beliau yang begitu ‘gentleman’ dalam memikirkan hala tuju PSM selepas ini. Mungkin kita tidak dapat memikirkan apa yang ada dibenak fikirannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa yang diberikan selama Datuk Seri Ahmad Ismail menjadi Presiden PSM sejak 2002 lagi,” katanya.