MPM jangka lebih ramai atlet layak ke Paralimpik Tokyo

Paralimpik Tokyo
Paralimpik Tokyo
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menjangkakan lebih ramai atlet akan menyertai 13 atlet negara yang telah mengesahkan penyertaan ke Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September depan.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, seramai 10 atlet paralimpik negara melibatkan tiga sukan berbeza kini diletakkan dalam senarai menunggu dan keputusan hanya akan diketahui dalam tempoh tiga minggu.

Menurut beliau, 10 atlet berkenaan merangkumi masing-masing empat daripada sukan olahraga dan berbasikal sementara dua lagi dalam powerlifting.

"Kita berharap mereka dapat layak ke Tokyo dan kita juga ada sembilan atlet lagi daripada sukan memanah, badminton, menembak, renang dan ping pong untuk slot 'bipartite'," katanya.

Slot 'bipartite' diberikan kepada atlet individu dan bukan kepada Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) setiap negara, selain keputusan pemberiannya oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) tidak boleh dibantah atau dirayu.

Pada masa sama, Megat D. Shahriman yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Tokyo menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan tiga atlet negara yang mengesahkan tiket ke Tokyo secara merit pada Rabu.

Tiga atlet itu ialah jaguh badminton para Cheah Like Hou dan rakan seperjuangannya Didin Taresoh selain atlet tenis kerusi roda Abu Samah Borhan.

"Tahniah kepada semua atlet yang berjaya layak secara merit, MPM sangat bangga dan ini berita baik untuk negara. Kita semua sudah bersedia untuk ke Tokyo dan capai matlamat kita di sana," kata beliau.​​

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, 10 atlet para daripada lima sukan layak ke Sukan Paralimpik Tokyo terdiri daripada Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia dalam acara renang; S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Mohd Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).- Bernama