Kerani rugi RM79,600 diperdaya Macau Scam

Macau Scam. - Foto Sumber Internet
Macau Scam. - Foto Sumber Internet
A
A
A

TELUK INTAN- Seorang kerani kerugian RM79,600 ditipu sindiket 'Macau Scam' yang memperdaya mangsa terlibat kegiatan pengubahan wang haram.

Wanita berusia 51 tahun itu dihubungi individu menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pegawai palsu terbabit menawarkan jalan penyelesaian kepada mangsa dengan membuat pembayaran terlebih dahulu.

"Bermula Jumaat hingga Ahad lalu, mangsa mengeluarkan wang berjumlah RM65,000 daripada akaun simpanannya dan meminjam wang daripada empat rakannya berjumlah RM14,600.

"Kesemua wang terbabit dipindahkan dengan melakukan lapan transaksi menerusi mesin deposit tunai di cawangan bank berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, mangsa menyedari ditipu selepas suspek tidak dapat dihubungi dan menghilangkan diri.

"Siasatan diteruskan oleh pihak polis bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket ini selain merujuk dengan polis terlebih dahulu untuk melakukan pengesahan," katanya.

Artikel Berkaitan: