X

Kindly register in order to view this article
!

iPhone tewas di tangan Samsung

Samsung menjual 76.1 juta unit telefon pintar pada S1 2021.
A
A

[INFOGRAFIK] Permintaan yang tinggi terhadap telefon pintar menyebabkan muncul pelbagai jenama di dalam pasaran global.

Dianggarkan, terdapat kira-kira 1,300 jenama telefon pintar dihasilkan di seluruh dunia, menurut OpenSignal.

Bagaimanapun, hanya segelintir sahaja yang mendapat perhatian pengguna disebabkan oleh beberapa faktor yang ditawarkan seperti harga, fungsi dan ketahanan.

Daripada jumlah tersebut hanya beberapa sahaja yang berjaya menjadi perhatian ramai dan memonopoli pasaran telefon bimbit dunia.

Antara jenama besar yang sentiasa meraih perhatian pengguna telefon pintar di seluruh dunia ialah Samsung dan Apple.

Bagaimanapun, Samsung berjaya menunjukkan kekuasaannya apabila berjaya menjual lebih banyak telefon pintar pada suku pertama (S1) 2021 berbanding Apple.

Menurut laporan sebuah firma analisis dan konsultasi telekomunikasi, media dan teknologi dari United Kingdom iaitu Omdia, Samsung merupakan jenama unggul yang menguasai pasaran telefon pintar dunia bagi S1 2021.

Sebanyak 22 peratus pasaran telefon pintar dunia kini dikuasai oleh syarikat gergasi dari Korea Selatan itu dalam tempoh berkenaan, lapor Omdia.

Jelasnya, Apple pula hanya menguasai 15 peratus pasaran telefon pintar dunia dengan menjual kira-kira 52.4 juta unit telefon pintar keluarannya.

Selain dua ‘gergasi’ berkenaan, pasaran telefon pintar global turut dikongsi oleh jenama lain yang terdiri daripada Xiomi, Vivo, Oppo, Huawei, Motorola, Realmi, Techno dan LG.

Telefon pintar merupakan peranti penting yang membantu menyelesaikan pelbagai masalah pada hari ini.

Ia menjadi barangan mustahak yang bukan sahaja memudahkan komunikasi jarak jauh malah membantu menyiapkan tugasan, membeli-belah, menonton filem dan sebagainya.

Hampir semua orang di dunia ini memiliki dan menggunakan telefon pintar, tidak kira lelaki, wanita, dewasa atau kanak-kanak sehingga permintaannya meningkat dari masa ke masa.

Namun, berapakah jumlah sebenar mereka yang menggunakan telefon tersebut di dalam dunia?

Menurut laman web Bank My Cell, kira-kira 3.8 bilion daripada jumlah populasi penduduk dunia menggunakan telefon pintar pada hari ini.

Sementara mereka yang menggunakan telefon telefon bimbit biasa pula dilaporkan sebanyak 4.9 bilion (62 peratus).

Jumlah pengguna telefon bimbit di dunia sehingga Jun 2021 ialah 5.3 bilion atau 67.03 peratus daripada populasi penduduk dunia.

Merujuk data World Do Meter, populasi penduduk dunia pada hari ini dicatatkan mencecah 7.9 bilion.

Di Malaysia, dianggarkan seramai 21 juta penduduknya menggunakan telefon pintar setakat 2021.

Daripada jumlah tersebut, kadar penetrasi atau telefon pintar yang mempunyai kad SIM aktif dan boleh diakses ialah 66.5 peratus.

Jumlah tersebut bagaimanapun masih rendah jika dibandingkan dengan beberapa negara besar dunia.

Bank My Cell menjelaskan, China adalah yang memiliki pengguna telefon paling ramai pintar setakat ini.

Dianggarkan, 851 juta penduduknya memiliki telefon jenis tersebut dengan kadar kad SIM aktif sekitar 59.9 peratus.

Sementara Malaysia pula berada di tangga ke-19 dalam senarai 50 negara yang memiliki pengguna telefon pintar terbanyak.

Tempat terakhir ialah Switzerland dengan jumlah pengguna sebanyak 6 juta merangkumi kadar penetrasi sekitar 72.9 peratus.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!