Filem Mansor bersaing di tiga negara

Antara hasil karya Mansor yang mendapat perhatian antarabangsa. Gambar kecil: Mansor Puteh
Antara hasil karya Mansor yang mendapat perhatian antarabangsa. Gambar kecil: Mansor Puteh
A
A
A

SHAH ALAM - Tahun rezeki bagi pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh apabila empat filemnya iaitu sebuah filem cereka dan tiga dokumentari mendapat perhatian di tiga buah pesta filem antarabangsa.

Mansor berkata, dokumentari berjudul Aceh Does Not Believe In Tears, Rohingya Kissa dan A Crossed Amerika dan sebuah filem cereka berjudul Seman: A Lost Hero mendapat perhatian di Singapura, Iran dan India.

Menurut beliau, filem Aceh Does Not Believe In Tears dan Seman: A Lost Hero bakal bersaing dalam festival filem World Film Coference di Singapura awal tahun depan manakala Rohingya Kissa di Iran dan A Crossed Amerika di India.

"Saya membuat tiga dokumentari tersebut dengan (secara) senyap dan ada yang mengambil masa selama lapan tahun untuk disiapkan.

"Filem cereka berjudul, Seman: A Lost Hero pula dibuat dari tahun 1985 hingga 1986 dan pernah menyertai Pesta Filem Malaysia (PFM) tetapi disingkirkan dan anehnya filem ini masih hidup serta dipilih ke peringkat akhir World Film Coference di Singapura pada malam anugerah itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur sebelum menderma darah buat kali ke-572 dan meletakkan Mansor sebagai rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara pada Selasa.

Jelas beliau, dua dokumentari iaitu Aceh Does Not Believe In Tears dan Rohingya Kissa mengangkat tema dan tajuk yang tidak pernah digunakan oleh mana-mana pengarah filem iaitu tentang tsunami Aceh dan pelarian Rohingya.

Menurut Mansor lagi, A Crossed Amerika pula mengisahkan pengalaman mengembara di Amerika sambil membawa audien membaca isi hati rakyat negara itu yang sebenarnya 'azab' walaupun mereka kononnya bangga dan maju dalam banyak perkara.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, sehingga kini tidak ramai pengarah filem yang pernah diberi pengiktirafan sehinggakan ramai antara mereka hanya buat filem untuk tontonan di pawagam dan televisyen tempatan dan tidak mendapat tempat di platform lain di luar negara.

Mansor turut melahirkan kekesalan bagaimana sebuah filem Melayu yang menyertai PFM tahun 1988 dahulu masih hidup dan boleh diterima oleh pesta filem antarabangsa, sedangkan ia gagal mendapat sebarang pengiktirafan dari PFM sendiri.