Malaysia harus ikut cara Delhi

No Image Caption
A
A
A

NEGARA India telah menggemparkan ramai penduduk dunia apabila kes harian positif Covid-19 di sana adalah yang paling tinggi dalam sejarah.

India atau lebih tepat ibu negaranya iaitu Delhi pada April lalu telah mencatatkan sehingga 25,000 kes Covid-19, tetapi sekarang kurang daripada 1,500 kes sehari sejak beberapa hari lalu.

Delhi merupakan antara kawasan tumpuan pekerja dari serata India, sama seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta.

Para pekerja berpusu-pusu ke ibu negara tersebut untuk bekerja di tapak pembinaan dan kilang, sehingga membentuk kepadatan penduduk yang amat tinggi.

Jika keadaannya teruk, kenapa pula kita (Malaysia) perlu mengikut cara Delhi?

Amalan yang digunakan oleh Delhi untuk mengurangkan kes positif Covid-19 secara mendadak adalah melalui proses perintah berkurung secara menyeluruh atau istilah popular di negara kita sebagai total lockdown.

Perintah berkurung di Delhi itu bermula pada 19 April lalu dan telah dilanjutkan sebanyak dua kali.

Sepanjang tempoh lanjutan perintah berkurung kerajaan India telah memperhebat sekatan seperti menangguhkan operasi tren bawah tanah.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal menegaskan, pihak kerajaan turut berusaha mengatasi masalah kekurangan bekalan oksigen dan katil di hospital.

Semasa perintah berkurung tersebut, warga Delhi hanya dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan perubatan sahaja.

Disiplin

Restoran pula hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang manakala pusat beli-belah, gimnasium dan taman ditutup.

Hasil prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, tegas dan dibantu dengan disiplin warga Delhi, kes harian Covid-19 makin berjaya dipulihkan.

Pusat-pusat kesihatan dan hospital di sana juga tidak lagi seteruk seperti pada awal gelombang April lalu.

Justeru, Delhi telah mengambil keputusan untuk melonggarkan perintah lockdown tersebut supaya warganya mendapat sedikit kebebasan selepas keadaan sedikit reda.

Bermula 31 Mei lalu, operasi kilang dan aktiviti pembinaan akan disambung semula, menurut laporan media BBC.com.

Namun, pakar-pakar kesihatan India tetap memberi peringatan kepada semua bahawa kelegaan ini tidak bermakna pandemik telah berakhir dan orang ramai digesa supaya terus mengamalkan SOP dengan ketat.

Selain Delhi, negeri-negeri lain di India turut melaporkan kadar menurun jumlah kes Covid-19.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bagaimana bandar raya tersebut berhadapan dengan gelombang kedua Covid-19 yang dahsyat hingga melumpuhkan perkhidmatan kesihatan, tanpa katil, oksigen dan ubat yang mencukupi bagi merawat pesakit.

India menjadi negara kedua tertinggi dari segi jumlah kes Covid-19 yang disahkan selepas Amerika Syarikat dengan lebih 33.21 juta dijangkiti baru-baru ini.

Apa yang boleh kita pelajari dari India, khususnya warga Delhi adalah mengenai pelaksanaan SOP yang jelas lagi tegas, di samping disiplin yang ditunjukkan oleh para warganya yang tinggi.

Percayalah, jika SOP yang jelas dan tegas semata-mata, namun rakyatnya tetap suka melanggar dan tidak berlaku jujur, kita masih akan gagal melawan virus maut ini.

Kini, bermula 1 Jun 2021, negara kita sedang berada dalam perintah total lockdown kali kedua selepas yang pertama bermula 18 Mac 2020 lalu.

Sekiranya kita gagal dalam total lockdown kali kedua ini, maka kita akan berhadapan dengan keruntuhan sebuah negara tercinta di tangan virus maut bernama Covid-19.

Ayuhlah para jiwa yang ada di Malaysia, bermula dari pak menteri sehinggalah ke warga asing, kita gunakan peluang total lockdown kali kedua ini untuk membuktikan bahawa kita mampu menang melawan virus maut Covid-19 ini.

Contohilah warga Delhi yang telah berjaya menunjukkan disiplin mereka untuk melawan Covid-19.

* Sarfarizmal Saad ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)