X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia bukan macai China

A
A
[DIKEMASKINI] SEBAGAI warga Malaysia, saya mengambil berat dan membantah pencerobohan ruang udara dan perairan Malaysia oleh pesawat tentera udara dan kapal Pengawal Pantai China yang berlaku dua kali dalam tempoh lima hari.

Dalam kejadian pertama pada 31 Mei, sehari sebelum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyambut ulang tahun ke-63, pesawat Tentera Udara China dikesan memasuki ruang udara zon maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Dalam kejadian kedua pada 4 Jun, sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) dikesan menceroboh perairan Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali yang terletak hanya 84 batu nautika di Pantai Miri. Kedua-dua kejadian ini menggugat kedaulatan Malaysia dan menimbulkan persoalan sama ada persahabatan Malaysia dengan China telah diambil mudah sehingga China merasakan halaman Malaysia adalah padang permainan tenteranya dan Malaysia tidak akan membantah.

Pada 1974, Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China (yang memerintah benua China) dan bukan lagi Republik China (yang memerintah Taiwan) sebagai rejim yang sah untuk mewakili seluruh China. Malaysia adalah negara pertama di ASEAN yang berbuat demikian, malah lima tahun lebih awal daripada Amerika Syarikat.

Dasar Luar Malaysia bertonggakkan konsep ASEAN sebagai kawasan awam, bebas dan berkecuali dan cuba tidak memihak kuasa besar yang bersaing iaitu Amerika Syarikat, China dan dahulunya, Soviet Union.

Dalam masa empat dekad, pembangunan ekonomi pesat China telah mengeratkan hubungan ekonomi dan diplomatik antara dua negara.

Apabila mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditolak oleh Barat kerana skandal 1MDB dan meminta bantuan kewangan dari China, Malaysia pernah dilihat seolah-olah ke arah menyertai kem China seperti Kemboja dan Laos.

Penggantian kerajaan Pakatan Harapan (PH) memulihkan sedikit keseimbangan dalam hubungan kedua-dua negara. PH berjaya merunding semula dengan China atas projek infrastruktur pelaburan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan terma lebih memanfaatkan Malaysia.

Tetapi PH tidak memusuhi China. Sikap berhati-hati ini ternampak pada mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang lantang bersuara di arena antarabangsa. Beliau sanggup mempersoalkan kedaulatan India atas wilayah Kashmir tetapi bersepi atas dakwaan pencerobohan hak asasi manusia melibatkan muslim di wilayah autonomi Uygur Xinjiang di China.

Penggantian kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertingkatkan keakraban Malaysia ke arah China.

Pada 2 April lalu, dalam sidang akhbar di China, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussin memanggil rakan sejawatannya Wang Yi pada sidang akhbar sebagai ‘abang long’ (big brother). Ungkapan kemesraan antara individu tidak patut wujud dalam hubungan formal antara kerajaan.

China juga harus faham persahabatan dan penghormatan itu mesti berhala dua. Ketika keagresifan diplomasi wolf warrior (hulubalang serigala) China mengundang kesangsian Barat, China lebih perlukan persahabatan Malaysia yang berpantaikan Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Malaysia bukan macai China. Kalau macai, kita memang tidak layak menegur abang long atau ayahanda yang sesuka hati masuk halaman kita.

Kalau China gagal memahami hakikat ini, tak lama lagi rakyat Malaysia – tak kira kaum, agama dan kepartian – akan menuntut penjarakan diplomatik daripada China.

Tepi sungai banyak keladi,

Cabut setongkol sebelum titi;

Budi harus dibalas budi,

Kalau tidak kesal nanti.

* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!