Covid-19: Lelaki lebih ramai meninggal dunia berbanding wanita

Data dikeluarkan KKM menunjukkan lebih ramai lelaki meninggal dunia akibat Covid-19 berbanding wanita di negara ini.
Data dikeluarkan KKM menunjukkan lebih ramai lelaki meninggal dunia akibat Covid-19 berbanding wanita di negara ini.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Seramai 416 lelaki dilaporkan meninggal dunia di negara kita akibat Covid-19 antara 1 hingga 8 Jun 2021.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah tersebut lebih tinggi berbanding wanita yang mencatatkan kematian 325 orang atau 44 peratus.

Dalam tempoh lapan hari itu, seramai 741 orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas adalah golongan paling ramai meninggal dunia iaitu sekitar 531 orang atau 72 peratus.

Sementara mereka yang berusia antara 30 hingga 59 tahun pula seramai 192 orang (26 peratus) dan golongan berusia 30 tahun ke bawah pula seramai 18 orang (2 peratus.

Pada tahun lalu, sekumpulan saintis yang melakukan ujian terhadap pesakit Covid-19 mendapati kebanyakan kematian lebih banyak membabitkan lelaki berbanding wanita.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kumpulan saintis berkenaan masih belum menemui jawapan kenapa lelaki lebih ramai menjadi korban berbanding wanita.

Data kematian pesakit Covid-19 di beberapa buah negara seperti China, Itali dan Sepanyol juga menunjukkan ramai lelaki mati akibat jangkitan wabak itu berbanding wanita.

Pegawai Perubatan Penyakit Berjangkit di Klinik Cleveland Abu Dhabi, Dr Maher Balkis mengesahkan kajian mengenai lelaki lebih ramai meninggal dunia akibat Covid-19.

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus kematian akibat jangkitan wabak berkenaan membabitkan pesakit lelaki.

Ia menunjukkan lelaki lebih berisiko dijangkiti berbanding wanita dan lelaki juga lebih terdedah kepada penyakit serius dan meninggal dunia, katanya.