De Paula janji gembirakan penyokong Harimau Malaya

De Paula (kanan) menegaskan Harimau Malaya akan bersedia sepenuhnya menghadapi Vietnam.
De Paula (kanan) menegaskan Harimau Malaya akan bersedia sepenuhnya menghadapi Vietnam.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya berjanji akan bangkit dan mendapatkan keputusan positif ketika menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 12 Jun ini.

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula berkata, skuad negara sudah belajar daripada kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berjanji akan memperagakan aksi lebih baik sekali gus memberikan keputusan yang mengembirakan buat penyokong Harimau Malaya.

"Kami sedar dan tahu apa yang perlu kami buat pada perlawanan menentang Vietnam nanti kerana keputusan positif sangat penting bagi kami. Kami juga tahu Vietnam sebuah pasukan yang bagus berdasarkan aksi menentang Indonesia.

"Kami perlu pandai menggunakan ruang selain Vietnam sangat laju ketika membuat serangan balas. Kami perlu fokus kepada permainan kami, cuba untuk bermain dengan penuh disiplin dan menjaringkan gol. Jika ia dapat dilakukan, tidak mustahil kami boleh menang.

"Semua pemain juga berada pada tahap keyakinan yang tinggi dan tahu tugas kami untuk buat penyokong gembira dengan keputusan positif. Ia juga akan memberikan keyakinan kepada kami untuk mengharungi perlawanan kelayakan ini," katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

De Paula sebelum ini dikritik susulan prestasi hambar dan disifatkan tidak memberikan sebarang impak ketika skuad Harimau Malaya tewas 0-4 kepada UAE baru-baru ini.

Malah, penyokong Harimau Malaya juga mahu pemain kelahiran Brazil itu diletakkan di bangku simpanan dengan posisinya diberikan kepada pemain tempatan dalam perlawanan menentang Vietnam nanti.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan mengharungi dua baki perlawanan kelayakan menentang Vietnam pada 12 jun dan berdepan Thailand pada 16 Jun ini.

Artikel Berkaitan: