UTP antara universiti swasta terbaik Malaysia

UTP berada di kedudukan ke-70 dalam QS Asia University Rankings 2021.
UTP berada di kedudukan ke-70 dalam QS Asia University Rankings 2021.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Universiti Teknologi Petronas (UTP) sekali lagi mengekalkan kedudukan sebagai universiti swasta terbaik di negara ini yang terbukti menerusi kedudukan serta penarafan konsisten di peringkat luar dan dalam negara.

Penarafan itu ialah Quacquarelli Symonds (QS), Times Higher Education (THE), Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) serta Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (Setara).

UTP menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan universiti itu berada di kedudukan ke-70 dalam QS Asia University Rankings 2021 sekali gus merekodkan pertumbuhan stabil dalam THE Asia University Rankings 2021, yang meningkat kepada kedudukan ke-111 daripada ke-124 tahun lalu.

“UTP turut menduduki tempat ke-230 di dalam QS World University Rankings by Subject 2021 dengan mata pelajaran Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Mineral berada di kedudukan 50 teratas dan pertama di negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut UTP merupakan satu-satunya universiti swasta di negara ini dengan penarafan enam bintang yang merupakan pencapaian tertinggi oleh MyRA bagi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

Menurut kenyataan itu, kedudukan UTP dalam QS World University Rankings 2022 baru-baru ini telah melonjak daripada kedudukan ke-439 kepada 414.

“UTP telah mencapai kemajuan kedudukan selama lima tahun berturut-turut dan meningkatkan kedudukan secara konsisten.

“Sejak 2017, UTP meningkat daripada kedudukan 601-650 kepada 521-530 pada 2019. Kemudian ia (UTP) memasuki kedudukan 500 teratas dan berada di kedudukan ke-482 pada tahun berikutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memaklumkan UTP melonjak 43 tempat untuk berada di kedudukan ke-439 bagi 2021 dan ketika ini, meningkat 187 tempat dalam kedudukan sejak 2017.

Sementara itu, Naib Canselor UTP, Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, UTP telah menyertai pelbagai kedudukan dan inisiatif penarafan memandangkan ia merupakan sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan serta jenama universiti tersebut sebagai rakan akademik berwibawa bagi pendidikan tinggi dan rakan penyelidikan berkredibiliti kepada industri.

Bersempena pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 esok, Mohamed Ibrahim ingin mengambil peluang mempelawa pelajar memohon bagi kemasukan September 2021 di universiti itu menerusi https://www.utp.edu.my/Pages/Admission.aspx. - Bernama