Qabil Ambak berlepas ke Denmark esok

Qabil Ambak
Qabil Ambak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Atlet ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil akan berlepas ke Aaarhus, Denmark dari Singapura pagi Khamis.

Qabil Ambak memberitahu Bernama, ini berikutan beliau telah pun menerima vaksin Covid-19 di republik itu pada Rabu.

“Saya telah menerima dos pertama. Ia berjalan lancar, tidak perlu beratur, saya terus dibawa ke bilik suntikan dan perlu menjalani proses pemerhatian selama 30 minit.

“(Vaksinasi) ini adalah halangan pertama dan saya berharap dapat melepasi pemeriksaan imigresen apabila tiba di Denmark,” katanya apabila dihubungi pada Rabu.

Untuk rekod, Qabil Ambak, 41, tidak dibenar memasuki Eropah sejak akhir Ogos 2019 berikutan peraturan imigresen.

Dia dipaksa untuk memendekkan tempoh penginapannya di Eropah selepas didakwa tinggal melebihi tempoh visa di Denmark.

Sementara itu, Qabil Ambak berkata, dia tidak mengalami kesan sampingan selepas divaksinasi.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Sukan Singapura kerana berjaya mengatur proses vaksinasinya dalam tempoh yang singkat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 tersebut berkata beliau akan menjalani latihan dengan kudanya, Delatio, selama dua hari sebaik tiba di Aarhus, sebelum kuda jantan hitam itu menempuh perjalanan sejauh 1,000 km ke Perancis untuk bersiap sedia menghadapi acara CDI (International Dressage) di Le Mans dari 17 hingga 21 Jun ini.

Ekuin berusia 41 tahun dan merupakan anak jati Kuala Lumpur itu berharap beliau akan mendapat sijil kelayakan dan mengumpul mata sekurang-kurangnya 66 peratus di Le Mans.

Jika berjaya melepasi halangan itu, beliau bakal melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama bersaing dalam acara ekuestrian dalam temasya Sukan Olimpik yang edisi tahun ini akan berlangsung di Tokyo, Jepun dari 23 hingga 8 Ogos.

Qabil Ambak telah dinamakan sebagai pengganti dalam acara dressage oleh FEI selepas seorang daripada dua penunggang yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo melalui Kumpulan G kejohanan kelayakan untuk zon Asia Tenggara dan Oceania pada 2019 menarik diri baru-baru ini. - Bernama