Dua penerima vaksin awal jadi 'wira' di rumah jagaan

Wan Khairulnizam ketika menerima suntikan vaksin Covid-19. - Foto Bernama
Wan Khairulnizam ketika menerima suntikan vaksin Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Mendapat dos pertama vaksin Covid-19 telah menjadikan Wan Khairulnizam Wan Mohd Nowalid dan Awang Ngah Alang menjadi pempengaruh segera, sekurang-kurangnya di rumah jagaan tempat mereka menetap.

Wan Khairulnizam Wan Mohd Nowalid, 51, berkata, dia gembira kerana kesemua 15 rakannya di True Home Care Centre di Inderapura di sini, telah bersetuju untuk mendapatkan suntikan mereka, selepas melihat dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas mendapat vaksin Pfizer pada 5 Mei lalu.

"Ada antara mereka yang bertanya sakit tak? Saya jawab seperti gigitan semut. Saya hanya mengalami sedikit demam pada waktu malam selepas suntikan tetapi selain daripada itu, semuanya baik," katanya sambil tersengih.

Wan Khairulnizam dan Awang, 83, ditemui di rumah jagaan itu ketika menunggu ketibaan Unit Bergerak Vaksinasi dari Jabatan Kesihatan Pahang, untuk melengkapkan dos mereka pada Rabu.

Pemilik rumah jagaan itu, Noryana Samsudin, 35, mengakui sukar untuknya mendapatkan persetujuan semua penghuni kerana ada antara mereka yang bimbang dengan kesan sampingannya manakala ada yang mahu bertanya anak mereka terlebih dahulu.

"Tetapi beberapa hari selepas Pak Cik Wan Khairulnizam dan Pak Cik Awang divaksinasi, kebanyakan mereka memberitahu saya bahawa mereka mahu diberi vaksin. Ada juga menghubungi kami meminta kami melakukan pendaftaran bagi pihak ahli keluarga mereka di sini," katanya.

Berikutan pandemik Covid-19, Noryana berkata, mereka terpaksa menyekat kedatangan pelawat untuk tidak mengambil sebarang risiko memandangkan kebanyakan penghuni menghidap pelbagai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, strok dan Parkinson.

“Sebelum dilanda pandemik, kami sering menerima kunjungan saudara-mara penghuni untuk membawa mereka pulang menyambut Hari Raya atau berhujung minggu tetapi semua itu terpaksa dihentikan sejak tahun lepas. Pada masa ini juga kami terpaksa hentikan kunjungan guru agama untuk kelas pembelajaran al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Kami sekarang bergantung sepenuhnya kepada telefon pintar sebagai penghubung komunikasi antara penghuni dan keluarga mereka. Petugas akan membuat panggilan video untuk mereka setiap hari dan ini adalah penting untuk kesihatan mental penghuni,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni di rumah jagaan itu, Ghazali Salleh, 59, berharap dia akan mendapat vaksinasi segera kerana berisiko tinggi memandangkan menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi.

Ditanya mengapa tidak menyertai sesi pertama suntikan itu seperti dua lagi rakannya, Ghazali sambil tersipu-sipu berkata, dia mahu ‘tunggu dan lihat’, sambil menegaskan bukan kerana dia takutkan jarum.

Bagi Mohammad Muda, 64, anak-anaknya tidak menyokong dia mengambil vaksin kerana mereka khuatir kesan sampingannya, tetapi Mohammad kemudian berjaya meyakinkan mereka.

“Saya selalu beritahu mereka bahawa kawan-kawan saya (Wan Khairulnizam dan Awang) dalam keadaan baik selepas suntikan dan setiap hari berita menekankan mengenai kepentingan vaksin. Malah orang yang lebih tua daripada saya pun mengambilnya.

“Kemudian mereka bersetuju jadi saya suruh mereka daftarkan nama saya di MySejahtera kerana saya telah terlepas peluang di sini. Saya harap saya akan diberi vaksin tidak lama lagi,” katanya. - Bernama