Lewat lantik naib canselor: Noraini dicadang lepaskan jawatan

Noraini
Noraini
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan agar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melepaskan jawatan sekiranya berterusan tidak mampu menentukan hala tuju dan memacu kementeriannya.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan berkata, cadangan tersebut dibuat agar jawatan itu boleh diberikan kepada mereka yang lebih memahami hala tuju serta keadaan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Jawatankuasa Pendidikan PH mengambil maklum jawapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai kekosongan jawatan naib canselor dan alasan-alasan yang dikemukakan.

“Walaupun KPT memberikan alasan bahawa proses yang teliti dan profesional menyebabkan kelewatan, malangnya ia tidak berlaku kepada penggantian naib canselor di beberapa universiti sebelum ini yang berlangsung dengan kadar segera tanpa kelewatan melampau.

“Ternyata alasan dikemukakan hanya merupakan helah dengan berselindung di sebalik prosedur operasi standard (SOP) yang ada,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan, selain beberapa ahli Parlimen iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Cuepacs sebelum ini menggesa KPT agar segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima buah universiti awam negara yang kosong sejak awal tahun ini.

Lima universiti awam tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel Berkaitan:

Jabatan Pendidikan Tinggi KPT selepas itu berkata, naib canselor baharu UPSI dan UPM akan diumumkan dalam masa terdekat, manakala calon naib canselor bagi UniMAP, UMT dan UiTM pula dalam proses ditemu bual oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan campur tangan urusan pemilihan naib canselor: Cuepacs

Naib Canselor UPM, UPSI diumum dalam masa terdekat.

Cuepacs gesa KPT segera lantik naib canselor lima universiti.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pendidikan PH itu berkata, proses pemilihan biasanya segera dilakukan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) selepas penamatan dan penamaan calon masing-masing diserahkan kepada KPT.

“Di peringkat KPT, sewaktu pentadbiran PH, proses selanjutnya ialah proses pemilihan atau temu duga oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor yang dianggotai oleh golongan profesional dan tiada kepentingan. Setelah itu, menteri akan memuktamadkan pelantikan,” kata mereka.

Menurut mereka, proses itu tidak akan memakan masa yang lama sehingga berbulan-bulan seperti yang didakwa oleh KPT dalam jawapannya kepada Cuepacs.

“Malah, selama ini pun proses yang sama digunakan dan tidak pula mengambil masa terlalu lama seperti yang berlaku sekarang ini.

“Kelewatan ini adalah di luar kebiasaan, lebih-lebih lagi di zaman wabak Covid-19 di mana kepimpinan universiti amat diperlukan dan amat mendesak,” tegas mereka.

Jawatankuasa itu berkata, selain pelantikan naib canselor, banyak lagi jawatan timbalan naib canselor di universiti awam juga tidak dilantik.

“Aduan yang kami terima ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai contoh, di mana jawatan TNC Akademik dan Antarabangsa (TNCAA) UTM belum dilantik melebihi 15 bulan.

“Kes lain juga ialah TNC Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, TNCAA Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan TNCHEPA Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga belum dibuat pelantikan sejak beberapa bulan,” katanya.