AS mahu jadi No. 1

RUU Akta Inovasi dan Persaingan itu memperoleh 68-32 undi sokongan pada Selasa. - Foto: Agensi
RUU Akta Inovasi dan Persaingan itu memperoleh 68-32 undi sokongan pada Selasa. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang tegang dek ‘perang ekonomi’ dijangka lebih keruh setelah Senat secara sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) ‘bercita-cita tinggi’ bagi meningkatkan kemampuan teknologi mereka untuk bersaing dengan teknologi Beijing.

RUU itu diluluskan pada Selasa setelah memperoleh 68-32 undi sokongan yang bertujuan untuk memperluaskan pengeluaran semikonduktor Amerika dan mendorong pengembangan kecerdasan buatan serta teknologi lain.

“Kita kini bersaing untuk menjadi ‘pemenang’ pada abad ke-21. Amerika tidak boleh ketinggalan ketika negara lain mula melabur untuk penyelidikan dan pembangunan yang semakin berkembang pesat. Amerika perlu mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling inovatif dan produktif di bumi,” kata Presiden Joe Biden.

Di bawah Akta Inovasi dan Persaingan itu, hampir AS$190 bilion (RM782 bilion) diperuntukkan untuk memperkasakan teknologi dan penyelidikan serta dana tambahan berjumlah AS$54 bilion (RM222 bilion) bagi meningkatkan pengeluaran serta penyelidikan ke atas peralatan semikonduktor dan telekomunikasi yang meliputi AS$2 bilion (RM8.2 bilion) untuk cip yang digunakan oleh pembuat kereta.

Difahamkan, ia akan dikemukakan di Dewan Perwakilan sebelum ditandatangani Biden sebagai undang-undang yang sah.

Sebagai respons terhadap ‘provokasi’ baharu AS itu, China mendakwa Akta Inovasi dan Persaingan itu sebagai tindakan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Beijing dan melucutkan hak pembangunan mereka melalui teknologi dan cubaan monopoli ekonomi yang masih berterusan hingga kini.

Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres Rakyat Kebangsaan menyifatkan RUU tersebut sebagai ‘ideologi dan mentaliti prasangka Perang Dingin’.

“RUU tersebut menunjukkan delusi paranoid dan sifat egoisme AS telah memutar-belitkan niat asal inovasi serta persaingan,” lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan jawatankuasa itu. - AFP

Artikel Berkaitan: