Kelewatan penyenaraian di Hong Kong isu sementara: Top Glove

No Image Caption
A
A
A

TOP Glove Corp Bhd melihat kelewatan penyenaraian di Hong Kong disebabkan larangan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) sebagai isu sementara dan tidak akan menjejaskan visi jangka panjangnya daripada pengapungan tersebut.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata, ia hanya menunggu masa untuk CBP AS menarik balik larangan import yang berhubung kebimbangan mengenai buruh paksa.

“Larangan import oleh CBP AS yang menyebabkan kami lewat dalam penyenaraian di Hong Kong adalah isu sementara...kita bercakap mengenai hanya beberapa bulan lagi.

“Kami melihat penyenaraian di Hong Kong memberikan faedah jangka panjang, seperti meningkatkan standard sarung tangan, penjenamaan dan nilai (syarikat),” katanya pada taklimat mengenai suku ketiga berakhir 31 Mei 2021 syarikat secara maya pada Rabu.

Pada Mac 2021, CBP memberitahu pelabuhan di AS untuk merampas barangan Top Glove selepas melarang pengimportan produknya pada Julai 2020.

CBP mendakwa terdapat bukti amalan buruh paksa di kemudahan pengeluaran Top Glove di seluruh Malaysia.

Wee Chai dalam bulan sama berkata, Top Glove akan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong Ltd pada Mei atau Jun tahun ini.

Ditanya bila larangan import itu akan ditarik balik, Pengarah Urusan, Datuk Lee Kim Meow berkata, tiada tempoh masa yang ditetapkan diberikan kepada syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kami telah mencuba yang terbaik dan saya harap ia akan ditarik balik dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Wee Chai enekankan bahawa kesemua 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah diselesaikan.

“Kami telah melaksanakan tugas kami, kini kami hanya menunggu mereka mengesahkan pembayaran dan pemulihan kepada pekerja,” katanya.

Menjawab pandangan seorang penganalisis bahawa kerajaan AS telah mengurangkan pembelian sarung tangan berbanding tahun lalu selepas hospital di AS mendakwa mereka mempunyai bekalan alat pelindung yang mencukupi, Kim Meow percaya kerajaan AS akan terus berwaspada dan terdapat keperluan untuk mereka menyimpan stok barangan keperluan.

“Kerajaan Barat terkejut apabila pandemik berlaku pada awal tahun lalu. Kini, berdasarkan jumlah kes baharu telah stabil, ia merupakan masa yang baik bagi mereka mempertimbangkan untuk menyimpan barangan tersebut.

“Ini kerana pakar-pakar percaya bahawa virus itu masih ada, walaupun pada skala yang lebih rendah,” katanya.

Menurut slaid pembentangan, jumlah jualan di Amerika Utara susut 68 peratus suku ke suku pada suku ketiga tahun kewangan 2021 dan sumbangan jualan dari rantau itu turut merosot kepada lapan peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2021 daripada 23 peratus pada suku tahun sebelumnya. - Bernama