MB Perak nafi bantuan di kawasan PKPD ikut parti politik

Saarani (dua dari kanan) ketika meninjau pelaksanaan PKPD PSAS, Tanjung Malim pada Rabu.
Saarani (dua dari kanan) ketika meninjau pelaksanaan PKPD PSAS, Tanjung Malim pada Rabu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan pemberian bantuan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut parti politik.

Beliau sebaliknya berkata, bantuan di kawasan PKPD disalurkan mengikut keutamaan penduduk yang memerlukan.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah menyalurkan peruntukan kepada Pejabat Daerah dan Tanah sebanyak RM400,000 bagi memberikan bantuan barangan keperluan kepada penduduk terjejas.

"Dakwaan itu hanyalah provokasi politik pihak tertentu, sedangkan peruntukan telah diturunkan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan. Keutamaan diberikan kepada yang benar-benar terkesan. Tidak timbul soal pilih kasih.

"Memang kita tidak sekat mana-mana parti politik mahupun NGO yang mahu menyampaikan bantuan tetapi mereka tidak boleh menghantar terus kepada penduduk. Mereka mesti melalui Pusat Kawalan Operasi Bantuan Bencana (PKOB). Orang luar tidak boleh masuk," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan PKPD Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang memetik hantaran seorang pengguna Facebook mendakwa bantuan kepada penduduk di kawasan PKPD Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan, Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah diagihkan kepada ahli UMNO sahaja.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi melancarkan tugas pengagihan bantuan, kerajaan negeri bersetuju menggunakan khidmat sukarelawan di kawasan PKPD yang mempunyai jumlah penduduk ramai seperti di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan, Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah.

Menurutnya, sukarelawan yang dipilih merupakan penduduk di dalam kawasan PKPD berkenaan dan disahkan negatif covid-19 selepas menjalani saringan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saarani meminta ibu bapa tidak bimbang dengan kebajikan anak mereka susulan pelaksanaan PKPD di PSAS.

Menurutnya, semua pelajar diberikan makanan bermasak, manakala bagi kakitangan pula disediakan bahan keperluan asas.

Sehingga kini, katanya, seramai 50 pelajar PSAS disahkan positif Covid-19, manakala seramai 135 orang lagi dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Baki lebih 400 orang sedang menjalani saringan Covid-19 yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Perak," katanya.