Pelantikan Zambry tepat, diperlukan BN: Khaled

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik dan tepat pada masanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, ini kerana Zambry mempunyai kewibawaan tersendiri dan amat diperlukan BN ketika ini.

"Zambry bukan sekadar seorang intelektual malah beliau juga seorang ahli politik yang terbuka dan teruji seperti yang dipamerkan ketika memimpin Perak untuk hampir sembilan tahun sebagai Menteri Besar.

"Ini adalah titik perubahan besar dalam BN. Konsensus yang tercapai antara semua komponen parti bukan sahaja menunjukkan keseriusan BN untuk bersatu dalam memperkemas hala tuju parti. Malah, petunjuk jelas bahawa BN sedang menguatkan kesatuannya dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 dengan lebih teratur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pelantikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan di laman Facebook beliau pada malam Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pelantikan Zambry adalah perkembangan yang sangat baik untuk BN sekali gus membuktikan gabungan itu bersedia melakukan perubahan generasi atau ‘intergenerational change’.

Menurutnya, generasi keempat selepas kemerdekaan telah mula mengemudi negara dengan peranan yang lebih besar dan signifikan.

"Semoga dengan semua perubahan ini, BN akan segera menyediakan dirinya untuk mengubah pendekatan menjadi lebih baik dan berfokus sekali gus memberi kepimpinan yang diperlukan dalam kerajaan akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Zambry Abdul Kadir Setiausaha Agung BN baharu