Kilang getah diarah tutup seminggu

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL - Sebuah kilang getah di Felda Palong 8 di sini diarah tutup tujuh hari berikutan terdapat satu kes positif Covid-19 yang dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin berkata, kes tersebut membabitkan petugas di kilang getah terbabit.

Menurutnya, langkah-langkan progresif telah diambil bagi mengekang penularan wabak tersebut di kawasan persekitaran.

"Selain operasi kilang diarah tutup, kita juga mengarahkan supaya mereka melakukan saringan kontak rapat dan kuarantin kendiri membabitkan semua pekerja di kilang tersebut.

"Pemilik kilang itu juga diminta melaksanakan operasi sanitasi premis dan agensi penguat kuasa turut diminta melakukan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya, orang awam diminta supaya bekerjasama memberikan maklumat, sekiranya terdapat individu yang melanggar SOP yang ditetapkan dengan memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau pihak polis untuk tindakan lanjut.

Nawal berkata, pihak jawatankuasa juga meminta orang ramai sentiasa mematuhi SOP dan diingatkan agar lebih berhati-hati serta melakukan kawalan pergerakan kendiri dengan kekal berada duduk di rumah.

"Jika tiada urusan penting di luar, duduk sahaja dirumah, sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau 'hand sanitizer'.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang penyebaran berita palsu yang boleh mendatangkan panik serta menimbulkan spekulasi adalah dilarang sama sekali," katanya.