Rais Hussin nafi tuduhan palsu, fitnah terhadap dirinya

Rais Hussin
Rais Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff menyangkal tuduhan sebuah portal dalam talian ke atas dirinya pada 7 Jun lalu.

Rais dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau terkejut dengan fitnah membabitkan peribadi serta kapasitinya sebagai Pengerusi MDEC.

"Saya dengan tegas menyangkal tuduhan berkenaan yang jelas palsu dan fitnah.

"Untuk rekod, saya tidak mempunyai enam pegawai yang ditempatkan di pejabat pengerusi serta saya juga bukan anggota Majlis Tertinggi Bersatu.

"Artikel ini mempunyai agenda tersembunyi oleh tangan yang tidak kelihatan. Saya akan membiarkan fakta bercakap sendiri, saya sangat yakin kebenaran akan ditegak, Insya-ALLAH," katanya.

Beliau juga memaklumkan akan membuat laporan di Balai Polis Cyberjaya dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Pada 7 Jun, portal berkenaan mendakwa penempatan enam pegawai di pejabat Pengerusi MDEC itu yang didakwa melanggar tadbir urus korporat agensi tersebut.

Sementara itu, Rais berkata, beliau akan melengkapkan tahun pertama sebagai Pengerusi MDEC pada 15 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, sepanjang tempoh berkenaan, terdapat perubahan signifikan dan penambahbaikan ketara bagi mengukuhkan serta menginstitusikan standard integriti yang tinggi dalam tadbir urus di MDEC.

"Agensi ini telah melaksanakan misi ‘Mencipta Semula’ bermula dengan membawa masuk perintis industri ke dalam Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kanan.

"MDEC melaksanakan tinjauan tadbir urus dan integriti secara holistik diketuai oleh KPMG serta melaksanakan cadangan yang diberikan.

Jelasnya, peletakan jawatan oleh lapan orang pengurusan kanan secara kebetulan berlaku ketika tempoh tinjauan dilakukan KPMG.

"Pasukan pengurusan baharu dan profesional yang kuat serta berbakat luar biasa di MDEC kini fokus melaksanakan mandat agensi untuk memimpin ekonomi digital Malaysia ke hadapan, sejajar dengan Malaysia 5.0.

"Visi MDEC ke arah mewujudkan masyarakat yang terintegrasi dengan teknologi, ditadbir secara praktik, inklusif dan adil berdasarkan prinsip eko-persekitaran, melaksanakan MyDIGITAL seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, dengan model penyampaian InputOutput-Outcome-Impact (IOOI), MDEC sangat yakin bahawa hasilnya akan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.