X

Kindly register in order to view this article
!

10 kawasan di lima negeri dikenakan PKPD

Beberapa lokaliti di Pahang, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak dikenakan PKPD bermula 11 Jun hingga 24 Jun ini. - Gambar fail
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak 10 lagi kawasan di Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan berkuatkuasa pada 11 Jun sehingga 24 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti tersebut adalah Felda Inas, Kulai, Johor; Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil, Tumpat, Kelantan.

Menurutnya, di Pahang pula membabitkan Felda Tembangau 1 dan Felda Tembangau 3, Bera serta Felda Jengka 7, Maran.

“Kampung Singgahmata, Pulau Banggi dan Kampung Sin San, Kudat; Perumahan Kilang, Ladang Ong Yah Hoo, Kinabatangan, Sabah serta Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, Sarawak turut menjadi kawasan PKPD.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko selain memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan selain mengawal pergerakan penghuni di lokaliti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, hasil daripada saringan, sebanyak lapan kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Kampung Singgahmata, Pulau Banggi, sembilan di Kampung Sin San manakala 43 kes di Felda Inas, Kulai, Johor.

Katanya, lapan kes turut direkodkan di Felda Tembangau 1 selain Felda Tembangau 3 (28), Perumahan Kilang Ladang Ong Yah Hoo (28) dan 18 kes di Kampung Sinar Budi Baru.

“Felda Jengka 7, Maran, Pahang pula mencatatkan 18 kes positif Covid-19 manakala 75 kes di Kampung Kutan Tengah dan 47 di Kampung Ketil,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, PKPD di Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Raub, Pahang yang dijadualkan tamat pada 10 Jun dilanjutkan sehingga 24 Jun kerana didapati masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk, selain kes baharu turut direkodkan.

“KKM telah melakukan 525 ujian saringan dan 19 daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dan terdapat 217 lagi ujian saringan sedang menunggu keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD di lapan lokaliti di Kuala Lumpur, Sabah dan Pahang telah tamat mengikut jadual iaitu pada 10 Jun.

"Kawasan tersebut adalah Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C dan D), Kuala Lumpur; Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud dan Taman Sawit Balung, Tawau, Sabah.

"Selain itu, PKPD di Pahang, dua mukim di Temerloh iaitu Mukim Perak dan Mukim Bangau selain Taman Dato’ Tengku Paris, Raub dan Pekan Kemayan, Bera turut tamat mengikut jadual," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!