Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 perkukuh sistem makanan negara

Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) kali kedua pada Selasa.
Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) kali kedua pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 sebagai usaha memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) kali kedua yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Menurut MAFI, Pelan Tindakan DSMN itu merangkumi lima teras strategik; antaranya perluasan pengguna teknologi; pemerkasaan kajian dan penyelidikan; pemerkasaan data sekuriti makanan; perluasan kolaborasi strategik; serta pengukuhan governans jabatan dan agensi.

“Selain itu, Pelan Tindakan ini juga akan menumpukan kesemua empat dimensi sekuriti makanan iaitu ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan serta kemampanan.

“Ia seiring dengan dimensi sekuriti makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu pada Rabu.

MAFI berkata, kerajaan turut bersetuju mengenai langkah-langkah kawalan dan penguatkuasaan berkaitan aktiviti import dan transit produk haiwan serta strategi termasuk operasi bersepadu.

Menurutnya, ia bertujuan bagi memantau dan mengawal aktiviti pengimportan daging bermula dari pintu masuk sehingga ke peringkat runcit.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan mekanisme baharu bagi menangani isu kekurangan bekalan, sekali gus memastikan harga bawang di Malaysia akan jadi lebih stabil,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, turut dibentangkan di dalam mesyuarat FSCC ialah kertas makluman berkenaan status pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) melibatkan pihak industri sendiri dalam meningkatkan produktiviti industri padi negara.

Katanya, program tersebut dijangka akan membantu negara mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) beras yang telah ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak 75 peratus.

“Justeru, kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan ke arah meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat, terutamanya di kala negara mengharungi pandemik Covid-19,” katanya.