KKM lulus cadangan warga perubatan libatkan diri dalam program vaksin

Dr Adham pada sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Putrajaya pada Rabu. - Foto Bernama
Dr Adham pada sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Putrajaya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan cadangan untuk memanggil warga perubatan seperti pesara, graduan, doktor dan jururawat sukarelawan serta swasta untuk melibatkan diri dalam program vaksinasi Covid-19 sebagai usaha mencapai sasaran kadar vaksinasi tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, golongan itu akan menyumbang kepada peningkatan jumlah tenaga di pusat vaksinasi dan berperanan sebagai pemvaksin serta menguruskan kes di pusat pemerhatian.

Pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini pada Rabu, beliau berkata, langkah itu membantu Malaysia mencapai kapasiti 200,000 dos vaksin sehari menjelang bulan depan.

"Langkah yang mendapat kelulusan ialah semua houseman (doktor pelatih) yang ada di hospital kita dan dalam posting keenam, mereka akan kita gerakkan ke pusat vaksin sebagai pemberi suntikan vaksin dan menguruskan kes di pusat pemerhatian.

"Kedua, mereka yang merupakan graduan dari sekolah perubatan seperti doktor, doktor gigi, MA (pembantu perubatan) atau jururawat, kita mula gerakkan mereka untuk diberikan latihan dan lesen amalan bagi mengendalikan pusat vaksin. Ketiga, mereka yang pencen dan tamat perkhidmatan awal juga, kita panggil supaya beri tumpuan pada program ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, KKM turut menjemput doktor sukarelawan yang bekerja sambilan di hospital swasta menyertai program itu dan diberikan kredit bagi sijil amalan tahunan mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: