Masalah air sejak 60 tahun selesai

Osman (empat, kiri) menyerahkan borang jadual 1 generasi harapan Felda gugusan Lok Heng kepada Mohd Halim.
Osman (empat, kiri) menyerahkan borang jadual 1 generasi harapan Felda gugusan Lok Heng kepada Mohd Halim.
A
A
A

KOTA TINGGI - Masalah gangguan bekalan air yang dialami tiga gugusan Lok Heng di sini setiap kali musim kemarau saban tahun selesai selepas kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk membina tiga telaga tiub air di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Osman Sapian berkata, perkara itu merupakan khabar gembira tambahan pula diramalkan cuaca panas dan kemarau akan melanda sehingga Mei ini.

"Saya pada peringkat awal mengetahui perkara ini telah arahkan Badan Kawal Selai Air Negeri Johor (Bakaj) untuk melihat kesulitan dialami penduduk sejak sekian lama.

"Masalah ini bukan baru, sudah 60 tahun sejak kerajaan dahulu lagi dah hadapi, namun tidak selesai lagi. Setiap kali hari raya, penduduk berdepan masalah ini dan terpaksa ke paya atau tumpang rumah saudara mara untuk mandi dan dapatkan air bersih.

"Kita siapkan tiga tiub pam air berjumlah RM500,000 untuk selesaikan masalah yang timbul di sini agar penduduk mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Borang Jadual 1 Generasi Gugusan Lok Heng di Dewan Seri Feld Lok Heng Selatan, semalam.

Hadir sama, ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor, Datuk Mohd Halim Hasbullah; ADUN Sedili, Rasman Ithnain; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail; Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Abdul Rahman Ahmad.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 1,253 generasi harapan gugusan Felda Lok Heng terdiri daripada 440 orang Felda Lok Heng Barat, 517 dari Felda Lok Heng Timur dan seramai 296 orang dari Felda Lok Heng Selatan terlibat dalam penyerahan borang jadual 1 tersebut.

Artikel Berkaitan:

Osman berkata, buat julung kalinya kerajaan negeri pimpinan PH mengurniakan tanah seluas 4,500 kaki persegi kepada anak-anak peneroka supaya mereka boleh membina kediaman berdekatan dengan ibu bapa masing-masing.

"Bagi premium tanah kerajaan dahulu beri RM3 mungkin ada sebahagian kecil yang mampu ada sebahagian besar tidak mampu. Untuk tidak membebankan mereka juga, premium tanah berkenaan hanya dinilai serendah RM1 sekaki berbanding nilai semasa RM3 sekaki.

"Bahkan melalui pemberian RM1 premium ini kerajaan negeri telah hilang sebanyak RM24 juta hasil," katanya.

Pada majlis sama, Osman turut berjanji akan menyelesaikan baki proses hak milik tanah peneroka di Felda berkenaan yang belum dikeluarkan lagi melibatkan 600 peneroka dalam tempoh sebulan.