Pencuci kereta didenda RM10,000 rosakkan lif PPR

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Padah merosakkan lif sehingga boleh menyebabkan penghuni rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) terperangkap, seorang pencuci kereta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

V Danesh, 21, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Muhammad Iskandar berkata, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

"Perbuatan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian malah turut membahayakan diri sendiri dan orang lain," katanya.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati melakukan khianat dengan merosakkan pintu lif milik Badan Pengurusan Bersama (JMB) sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM15,000.

Kejadian dilakukan di tingkat 14 Blok B, PPR Seksyen 8, Kota Damansara di sini pada jam 2 pagi, 6 Jun lalu.

Kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan agar tertuduh menerima hukuman sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap hasil bekerja sebagai pencuci kereta.