Urus pengebumian jenazah Covid-19 setiap hari

Jenazah mangsa Covid-19 siap ditayamum dan ditutup dua lapis beg mayat yang luar disanitasi dengan sodium hypochlorite sebelum dikebumikan.
Jenazah mangsa Covid-19 siap ditayamum dan ditutup dua lapis beg mayat yang luar disanitasi dengan sodium hypochlorite sebelum dikebumikan.
A
A
A

TUMPAT - Tugas anggota bomba yang memadam kebakaran kini bertambah sebagai petugas yang menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19.

Proses itu dilakukan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Penyelaras Operasi Covid-19 Daerah Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Raja Arisan Raja Ismail berkata, di Tumpat setakat Selasa sebanyak 41 jenazah pesakit Covid-19 selamat dikebumikan oleh bomba daerah itu bersama petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Seramai 15 anggota ditugaskan setiap kali sesi pengebumian bermula pada Januari tahun ini dengan purata dua hingga tiga kematian sehari di daerah ini," katanya ketika ditemui di Jeti Kok Majid di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor berkata, penugasan bomba di tanah perkuburan berselang-seli dengan tanggungjawab menghantar bekalan makanan menggunakan bot merentasi Sungai Kelantan ke lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Covid-19 di kepulauan Mukim Sungai Pinang pada setiap minggu.

Berkongsi mengenai prosedur pengebumian, Raja Arisan berkata, jenazah Islam Covid-19 akan ditayamum pada permukaan luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan.

“Jenazah kemudian akan dibalut kain linen putih dan dua lapis beg mayat yang disanitasi dengan sodium hypochlorite serta diletakkan dalam keranda yang sudah ditutup,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota JBPM Kelantan yang lengkap memakai PPE mengusung keranda jenazah mangsa Covid-19 untuk dikebumikan.
Anggota JBPM Kelantan yang lengkap memakai PPE mengusung keranda jenazah mangsa Covid-19 untuk dikebumikan.

Beliau memberitahu, saat meruntun hatinya apabila ada permintaan daripada keluarga supaya merakam gambar pengebumian ahli keluarga yang meninggal.

“Ada anak-anak yang hanya dapat melihat proses pengurusan jenazah ibu mereka dari jauh. Saya penuhi permintaan mereka dengan merakam gambar di lokasi perkuburan sebagai tatapan dan kenangan terakhir,” katanya.

Menurut beliau, penugasan pengebumian mencabar dalam PPE dengan keadaan cuaca panas terik ditambah apabila menguruskan jenazah yang berlebihan berat badan kerana memerlukan lebih ramai anggota dan mengambil masa lama.

“Ada juga jenazah dibawa dari lokasi kepulauan ke tanah besar merentasi sungai menggunakan bot kerana tidak ada perkuburan di kawasan tersebut.

“Dua ahli keluarga dibenarkan membantu urusan pengebumian jenazah dengan syarat ketat memakai PPE dan tidak dibenarkan sama sekali mencium serta menyentuh jenazah,” katanya.