Gaji MB, Exco Negeri Sembilan dipotong hingga Disember

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Pemotongan gaji Menteri Besar dan barisan Exco di Negeri Sembilan sebanyak 10 peratus untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan akan disambung enam bulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemotongan itu sebelum ini bermula pada Januari sehingga Jun ini sebagai tanda penghargaan kepada jerit perih pasukan barisan hadapan.

"Tapi kita setuju untuk sambung lagi sehingga Disember ini dan ini adalah sumbangan daripada kita," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Selain itu, elaun seramai 1,716 penjawat awam di Negeri Sembilan akan dipotong dalam tempoh tiga bulan bermula bulan depan untuk disumbangkan ke dalam Tabung Bencana Amanah Negeri Sembilan.

Ujarnya, pemotongan itu berdasarkan gred perkhidmatan mereka iaitu dari 50 peratus jumlah elaun sehingga RM10.

"Jika ada penjawat awam berpendapatan isi rumah termasuk dalam kategori B40, pegawai perlu maklumkan kepada ketua jabatan untuk kecualikan mereka daripada melaksanakan pengurangan elaun ini.

"Tapi jika mereka rasa mampu untuk menyumbang, kita amat alu-alukan,"katanya.

Beliau berharap sumbangan daripada penjawat awam itu dapat memberi semangat kepada barisan hadapan untuk terus kuat memerangi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi pembelian mesin oksigen untuk kegunaan di hospital di negeri ini.

Aminuddin berkata, peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan khusus bagi program pemberian bakul makanan kepada 50,000 individu yang terjejas di seluruh Negeri Sembilan.

"Sebanyak RM500,000 juga diperuntukkan untuk pengecualian sewa gerai di semua Pihak Berkuasa Tempatan(PBT)," katanya.