Bantu OKU terima tempahan

Tempahan sambul surat yang diterima di Bengkel Seri Sembilan sedang disiapkan
Tempahan sambul surat yang diterima di Bengkel Seri Sembilan sedang disiapkan
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Latihan dan Pekerjaan orang kurang upaya (OKU) yang dikenali sebagai Bengkel Seri Sembilan merayu kerajaan negeri untuk membantu mereka menjalankan perkhidmatan membuat sampul surat.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata, semua pekerja di bengkel itu ialah OKU, seperti pekak, buta, lembam, kerdil dan cacat anggota.

Katanya, mereka dibayar gaji secara purata sehingga lebih RM1,000 sebulan tidak termasuk elaun gaji bekerja lebih masa dan elaun bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Bagaimanapun, pekerja itu tidak akan mendapat pendapatan jika tiada tempahan. Matlamat kita mendirikan bengkel supaya dapat memberi peluang kepada golongan OKU bekerja dan mempunyai gaji sendiri sama seperti individu lain.

"Bengkel ini merupakan salah satu pembekal sampul surat untuk jabatan kerajaan tetapi tidak ramai yang menyedarinya dan kami hanya bergantung kepada tempahan klien yang sama sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Harunarrsheed berharap usaha mereka mendapat kerjasama daripada semua jabatan dalam kerajaan negeri dengan membuat tempahan bekalan sampul surat pejabat di pusat OKU ini bagi membantu menampung perbelanjaan harian.

Kata Harunarrsheed, seramai 50 pekerja OKU tinggal di asrama yang disediakan bagi memudahkan pergerakan untuk pergi ke tempat kerja yang di kawasan ini.

"Makan, minum dan rawatan OKU di sini semuanya diuruskan oleh pihak pengurusan dengan bantuan JKM namun kita perlu juga mencari kewangan sendiri bagi menampung keperluan lain untuk warga OKU ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain membuat sampul surat, kami juga ada menyediakan perkhidmatan tempahan baju, menjual cendawan tiram dan perkhidmatan mencucuk sate. Ini semua adalah untuk memberi peluang kepada OKU untuk membuat kerja dan menerima gaji pada hujung bulan," katanya.

Tambah beliau, perkara paling menyedihkan apabila ada jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Sembilan mengambil bekalan sampul surat di Batu Pahat, Johor walhal di pusat itu ada menyediakan kemudahan yang sama.

Harunarrsheed bersyukur kerana hospital di Negeri Sembilan serta beberapa jabatan kerajaan mula mengambil bekalan sampul surat daripada pusat itu selepas mereka menghantar kertas cadangan.