Pekerja kilang biskut cemas van dinaiki terbalik

Van kilang dinaiki tujuh wanita yang terbalik selepas melanggar kabel TM di Jalan Kampung Pegoh Dalam, Alor Gajah, pada malam Selasa.
Van kilang dinaiki tujuh wanita yang terbalik selepas melanggar kabel TM di Jalan Kampung Pegoh Dalam, Alor Gajah, pada malam Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Tujuh pekerja kilang biskut berdepan detik cemas apabila van dinaiki mereka terbalik selepas melanggar kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Kampung Pegoh Dalam di sini pada malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, kesemua mangsa yang merupakan wanita berusia 25 hingga 50 tahun dalam perjalanan pulang dari kilang mereka di Kelemak, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Penguasa Kanan Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.33 malam sebelum sepasukan anggota membabitkan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu van berusia 73 tahun gagal mengelakkan kabel TM yang merintangi jalan.

"Pemandu van itu difahamkan cuba mengelak, bagaimanapun gagal sehingga menyebabkan van dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kiri jalan.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati lapan penumpang berada dalam kenderaan itu terselamat dan kerja-kerja menyelamat dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 11.20 malam.

Katanya, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah dengan menaiki ambulans hospital, manakala dua lagi menaiki EMRS.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu serta tiga lagi pekerja wanita bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.