Pegawai polis ditahan, disyaki rogol tahanan wanita

Perintah tahanan reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu kepada pegawai penyiasat narkotik berkenaan bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu kepada pegawai penyiasat narkotik berkenaan bagi membantu siasatan.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai penyiasat narkotik berpangkat inspektor direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi membantu siasatan kes rogol seorang tahanan lokap berstatus janda.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Rusli Ahmad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 27 tahun ditahan di lokap bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah.

Beliau berkata, mangsa ditangkap bersama bekas suaminya dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu pada Jumaat lalu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu dan pil kuda. Mangsa seorang suri rumah dan bekas suaminya itu direman di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa selama tujuh hari sehingga Jumaat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, ketika dalam tahanan, suspek merupakan pegawai penyiasat kes berkenaan membawa mangsa dari lokap ke bilik pejabat narkotik untuk siasatan.

“Semasa berada di dalam bilik itu, suspek dipercayai memaksa ibu tunggal dua anak itu melakukan oral seks dan persetubuhan.

“Menurut dakwaan mangsa, suspek menyatakan bahawa kesnya boleh selesai sekiranya menuruti kehendak suspek,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Khairuddin berkata, pegawai penyiasat berkenaan sudah berkahwin dan perintah reman berkuat kuasa sehingga Sabtu ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana oral seks,” katanya.