Tiga atlet para negara layak ke Sukan Parlimpik Tokyo 2020

Abu Samah, Taresoh, Liek Hou
Abu Samah, Taresoh, Liek Hou
A
A
A

TIGA atlet para negara berjaya menempah slot untuk beraksi pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung mulai 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Berita gembira itu dikongsi menerusi laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini apabila atlet tenis berkerusi roda, Abu Samah Borhan, 32, serta dua pemain badminton para negara, Cheah Leik Hou, 33, dan Didin Taresoh, 46, layak secara merit untuk beraksi pada temasya sukan berkenaan.

Justeru, kejayaan Abu Samah yang kini berada pada kedudukan ke-40 bagi acara perseorangan lelaki itu dilihat telah mencipta sejarah baharu sukan negara apabila buat julung kalinya pasukan tenis berkerusi roda dari Malaysia berjaya mara ke Sukan Paralimpik dan secara merit.

Selain itu bagi Leik Hou yang kini berada pada ranking kedua dunia dan pernah muncul juara dunia enam kali sebelum ini, bakal bersaing dalam kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas).

Dalam pada itu Taresoh, yang berada pada ranking ketujuh dunia pula bakal beraksi dalam kategori SS6 (kerdil) pada Sukan Paralimpik kali ini.

Kejayaan ketiga-tiga atlet berkenaan layak secara merit ke Sukan Paralimpik menjadikan seramai 13 atlet telah berjaya layak ke Sukan Paralimpik setakat ini dan hanya menunggu seramai 12 atlet lagi bagi melengkapkan senarai 35 atlet para untuk ke Sukan Paralimpik kali ini.

Artikel Berkaitan: