PPM Wilayah Dua rampas rokok seludup bernilai RM37,500

Rokok seludup dirampas PPM Wilayah Dua Johor menerusi Op Kontraban di Senai pada Selasa.
Rokok seludup dirampas PPM Wilayah Dua Johor menerusi Op Kontraban di Senai pada Selasa.
A
A
A

KULAI - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 250 karton rokok disyaki tidak mempunyai cukai kastam dianggarkan bernilai lebih RM37,500 dalam Ops Kontraban pada Selasa.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisoner Muhd Zailani Abdullah berkata, melalui operasi itu, seorang lelaki berusia 29 tahun turut ditahan selepas pegawai dan anggota melakukan pemantauan selama 48 jam di Jalan Seni Lorong 1, Senai.

Beliau memberitahu, lelaki berkenaan dilihat sedang memunggah sejumlah kotak berwarna coklat di bahagian belakang kenderaan miliknya.

"Lelaki terbabit dan semua barang rampasan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, PPM Wilayah Dua Johor akan sentiasa meningkatkan operasi dan memperketatkan pengawalan perairan negara daripada dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelak dikesan atau ditangkap pihak berkuasa.

"Operasi bersepadu dengan pihak IPD dan balai polis pesisir pantai akan ditingkatkan bagi membanteras sindiket ini," ujarnya.

PPM Wilayah Dua Johor menyeru kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang di pesisir pantai menerusi talian 07-237 2221.

Artikel Berkaitan: