Amzad nafi hubungan MB Terengganu dengan istana dingin

Ahmad Amzad menunjukkan surat laporan polis ketika ditemui di luar pekarangan IPD Putrajaya pada Rabu.
Ahmad Amzad menunjukkan surat laporan polis ketika ditemui di luar pekarangan IPD Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - “Tiada sebarang krisis," jelas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim susulan laporan sebuah portal tempatan mengaitkan beliau sebagai orang tengah untuk mengurangkan ketegangan antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan pihak istana.

Menurut beliau, Ahmad Samsuri telah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan baik dan tiada sebarang masalah berlaku setakat ini.

“Setahu saya Menteri Besar sentiasa melaksanakan tugas beliau dengan sebaiknya. Saya nak komen banyak pun, saya rasa semua okey.

“Dalam konteks saya dalam Parlimen Terengganu bagi memastikan program terhadap rakyat berjalan lancar, sudah tentu saya akan berhubung dengan kerajaan negeri.

“Keseluruhan Exco Kerajaan Negeri dan juga jentera pentadbiran di bawah Menteri Besar, setahu saya berjalan dengan baik. Jadi, di mana masalahnya pentadbiran negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, portal terbabit sepatutnya mendapat pengesahan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan berita berkenaan.

“Sekurang-kurangnya tanyalah saya dulu kerana ini membabitkan nama saya.

"Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, di dalam tempoh pandemik Covid-19, tumpuan kita adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat. Mana saya ada masa untuk menjadi orang tengah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Politik MB Terengganu buat laporan polis terhadap portal

UMNO tidak terlibat dalam gerakan jatuhkan MB Terengganu

Tambah Ahmad Amzad, istana merupakan satu institusi yang dijunjung tinggi rakyat dan elemen orang tengah membabitkan beliau sebagai ahli Parlimen di peringkat Persekutuan sepatutnya tidak berlaku.

“Justeru, saya telah mengambil langkah membuat laporan polis seperti dinasihatkan oleh penasihat undang-undang saya. Laporan yang ringkas sahaja.

“Kesemua keterangan telah diambil, selebihnya saya menyerahkan kepada pihak polis untuk melaksanakan tindakan selanjutnya. Siasatan akan dibuat mengikut undang-undang yang ada iaitu di bawah Akta Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita palsu,” katanya.

Ahmad Amzad berkata, peguam beliau juga akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

“Saya sudah memberi arahan sewajarnya kepada peguam saya. Ini dalam tindakan peguam saya, kita tengoklah macam mana," katanya.

Pada Selasa, sebuah portal tempatan melaporkan bahawa Pas dijangka dapat mentadbir kerajaan negeri Terengganu untuk tempoh satu penggal sahaja berikutan pergolakan antara Menteri Besar dan pihak istana negeri itu.

Menurut laporan itu, Ahmad Amzad terpaksa diminta menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan tersebut.