Kembali meningkat, 6,239 kes positif dicatatkan hari ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 di negara ini kembali melebihi angka 6,000 dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, sejumlah 6,239 kes baharu Covid-19 direkodkan sepanjang 24 jam lepas meningkat berbanding 5,566 kes pada Selasa.

Katanya, berikutan itu, jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat ini ialah 633,891 kes.

"Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi iaitu 2,291 kes diikuti Kuala Lumpur (704), Negeri Sembilan (507), Johor (468) dan Sarawak (419).

"Selain itu, Kelantan merekodkan 340 kes, Pahang dan Sabah masing-masing 232 kes, Labuan (200), Pulau Pinang (194), Perak (175), Terengganu (171), Melaka (150), Kedah (135), Putrajaya (17) manakala Perlis empat kes," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 7,386 kes sembuh dicatatkan dengan kes aktif kini sebanyak 81,575, manakala 905 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 453 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, sebanyak 75 kes kematian direkodkan melibatkan 23 kes di Selangor, 18 kes di Johor, tujuh di Kelantan, masing-masing lima kes di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga kes di Sabah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak, dua kes di Perak, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan.- Bernama