Nilai dagangan agrikomoditi meningkat kepada RM88.3 bilion

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021 kekal positif apabila mencatatkan jumlah nilai dagangan RM88.3 bilion, meningkat sebanyak RM34.2 bilion dengan imbangan dagangan berjumlah RM48 bilion.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pendapatan eksport produk agrikomoditi pula merekodkan RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

“Pendapatan ini mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 66.5 peratus, daripada RM40.9 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini didorong oleh kenaikan ketara harga agrikomoditi utama, yang terus mencatatkan peningkatan harga purata sepanjang tempoh empat bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, produk berasaskan getah merupakan penyumbang terbesar bagi eksport agrikomoditi dengan sumbangan sebanyak 43.9 peratus.

Ia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan peningkatan eksport sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion, katanya.

“Peningkatan ini didorong oleh lonjakan nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan peningkatan dua kali ganda iaitu 257.6 peratus kepada RM24.5 bilion berbanding RM6.9 bilion tempoh sama pada 2020,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan iaitu 12.8 peratus kepada 349,100 tan daripada 309,400 tan bagi tempoh sama 2020, yang dipacu oleh permintaan tinggi daripada sektor kesihatan di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, produk berasaskan sawit pula merupakan 40.6 peratus daripada jumlah pendapatan eksport agrikomoditi.

“Produk ini mencatatkan peningkatan 29.5 peratus iaitu RM27.6 bilion namun kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan daripada 7.6 juta tan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, produk berasaskan kayu-kayan telah menjadi penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan 12.2 peratus kepada pendapatan eksport keseluruhan sektor agrikomoditi.

“Sepanjang tempoh Januari hingga April 2021, nilai eksportnya adalah RM8.3 bilion, peningkatan 29.2 peratus,” katanya.

Pendapatan eksport bagi produk koko dan lada masing-masing juga mencatatkan peningkatan dengan nilai eksport produk koko adalah RM2.2 bilion manakala nilai eksport produk lada berjumlah RM42.1 juta.

Mohd Khairuddin berkata, berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021, pihaknya yakin prestasi perdagangan ini akan kekal positif untuk sepanjang baki tempoh 2021.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga percaya melalui suntikan dana tambahan oleh kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan akan merancakkan lagi momentum pembangunan industri agrikomoditi negara,” katanya.

Agrikomoditi merujuk aktiviti pertanian di bawah (KPPK) merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada serta kenaf. - Bernama