X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin GPS terima jemputan menghadap Agong Isnin ini

A
A

KUCHING - Semua presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima jemputan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 Jun ini, menurut Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Dalam kenyataan pada Rabu, pejabat itu memaklumkan mereka telah dihubungi Istana Negara yang menjemput menerima menghadap daripada Seri Paduka Baginda.

“Seri Paduka Baginda berkenan menjemput dan menerima menghadap presiden-presiden parti komponen GPS menerusi persidangan video pada jam 11 pagi 14 Jun ini,” menurut kenyataan ringkas itu.

Kenyataan itu susulan Al-Sultan Abdullah mengurniakan jemputan dan menerima menghadap pemimpin parti politik.

Pagi tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu, menghadap baginda di Istana Negara diikuti Ketua Pembangkang merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas empat parti politik tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018.

GPS, yang dipimpin oleh Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kini menguasai 68 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan 18 kerusi Parlimen.

PRS dipimpin oleh Tan Sri Dr James Jemut Masing, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (SUPP) dan PDP oleh Datuk Seri Tiong King Sing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!