Kelantan catat kes kendalian jenazah Covid-19 paling tinggi

Anggota JBPM Kelantan melakukan disinfeksi di pejabat Bernama Biro Kelantan sempena operasi sanitasi JBPM Kelantan di setiap pejabat media negeri itu. - Foto Bernama
Anggota JBPM Kelantan melakukan disinfeksi di pejabat Bernama Biro Kelantan sempena operasi sanitasi JBPM Kelantan di setiap pejabat media negeri itu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 262 kes telah dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu sehingga Selasa.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, selain itu, Kelantan juga mencatatkan jumlah pengendalian yang paling tinggi berbanding di negeri-negeri lain.

"Urusan pengebumian dikendalikan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM Kelantan dan jumlah tersebut meningkat mendadak susulan kes Covid-19 secara harian termasuklah kes kematian yang tinggi dicatatkan dalam negara ketika ini.

"Sehingga kini, paling maksimum adalah 10 kes sehari dan paling sedikit antara tiga ke empat kes sehari," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan kerja-kerja sanitasi melibatkan pejabat-pejabat utama media Kelantan di sini.

Hadir sama, Presiden Kelab Media Kelantan, Shahnun Haniff Abdullah Suhaimi dan ahli jawatankuasa terlibat.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, tanggungjawab mengendalikan jenazah Covid-19 ini memberi satu kelainan kepada agensi itu selain menanamkan keinsafan mewakili waris-waris yang memberi harapan besar kepada mereka untuk melaksanakannya sebaik mungkin.

Malah katanya, atas rasa keprihatinan itu juga menguatkan semangat mereka untuk melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik walaupun berdepan pelbagai risiko yang menanti.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai operasi sanitasi di seluruh negeri, beliau berkata, sebanyak 2,127 kawasan termasuk premis, pasar raya dan pusat beli belah telah disanitasi sejak Mac tahun lalu hingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Kami turut melancarkan panduan dalam meningkatkan pengetahuan orang ramai berkenaan kaedah disinfeksi, menerusi YouTube di pautan https://www.youtube.com/watch?v=y3dscPxXzSw," katanya.