X

Kindly register in order to view this article
!

Defisit perdagangan perkhidmatan Malaysia cecah RM47.4 bilion pada 2020

Perjalanan sebagai komponen utama perkhidmatan perdagangan Malaysia selama ini menghadapi situasi mencabar dan telah menyebabkan defisit tertinggi pada tahun 2020.
A
A

DEFISIT perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat kepada RM47.4 bilion, defisit tertinggi yang pernah direkodkan, disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang membawa cabaran besar dalam aktiviti ekonomi global.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, jumlah perdagangan perkhidmatan berjumlah RM232.7 bilion yang menyumbang 16.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK pada harga semasa) pada tahun 2020.

Eksport perkhidmatan menyusut kepada RM92.6 bilion berbanding RM170.2 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan kesan dalam komponen perkhidmatan utama, iaitu perjalanan dan pengangkutan.

Pada masa yang sama, import perkhidmatan menurun kepada RM140.1 bilion berbanding RM181.1 bilion pada 2019, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, perjalanan sebagai komponen utama perkhidmatan perdagangan Malaysia selama ini menghadapi situasi mencabar dan telah menyebabkan defisit tertinggi pada tahun 2020.

"Industri yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 ini berubah kepada defisit RM7.7 bilion, buat pertama kalinya dalam 30 tahun daripada lebihan RM30.8 bilion pada tahun 2019," jelas beliau.

Beliau menambah, eksport perjalanan menjunam 84.7 peratus untuk mencatatkan RM12.6 bilion disebabkan bilangan ketibaan pelancong yang jauh lebih rendah.

Malaysia mencatat 4.3 juta pelancong antarabangsa pada tahun 2020, penurunan yang signifikan sebanyak 83.4 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan penutupan sempadan negara dan pelaksanaan larangan perjalanan oleh negara-negara di seluruh dunia," kata Mohd Uzir.

Sementara itu, nilai eksport komponen utama pengangkutan susut 37.1 peratus kepada RM13.7 bilion pada tahun 2020 kerana penurunan ketara dalam pengangkutan udara.

"Pengangkutan udara yang bergantung kepada eksport penumpang udara merosot 72.3 peratus disebabkan sekatan perjalanan global bagi membendung penularan Covid-19.

"Namun begitu, eksport pengangkutan laut dan lain-lain khususnya perkhidmatan pos dan kurier masing-masing meningkat kepada RM7.7 bilion dan RM2.4 bilion,” tambah Mohd Uzir.

Beliau berkata, peningkatan dalam muatan laut, pos dan kurier adalah seiring dengan peningkatan trend membeli-belah dalam talian sejak penguatkuasaan sekatan pergerakan pada tahun 2020.

"Namun demikian, perkhidmatan yang mengalami transformasi digital yang dipercepat menunjukkan prestasi yang lebih baik semasa krisis Covid-19.

"’Perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat telah menyaksikan peluang berterusan sepanjang tahun 2020 dalam bentuk kerja telekomunikasi, penstriman video, pengkomputeran dan perkhidmatan digital lain," ujar beliau.

Eksport bagi komponen ini meningkat 7.9 peratus kepada RM13.4 bilion sementara import mengukuh 14.8 peratus kepada RM16.8 bilion kerana lonjakan dalam langganan perkhidmatan penstriman, terutamanya untuk filem dalam talian.

Ini dapat dilihat melalui peningkatan ketara dalam kalangan pelanggan Netflix Asia yang mencatatkan 25.5 juta berbanding 16.2 juta pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, perkhidmatan persendirian, kebudayaan dan rekreasi mencatatkan eksport yang lebih tinggi pada RM2.4 bilion, meningkat 3.1 peratus berbanding tahun 2019.

"Ini dipacu oleh pasaran permainan melalui platform digital yang pesat berkembang dan juga peningkatan dalam bilangan penghibur strim seperti You-tuber dan Tiktoker," tambah beliau.

Perkhidmatan perniagaan lain juga menjadi pemangkin eksport perkhidmatan dengan RM27.1 bilion pada tahun 2020.

Bagaimanapun, eksport menurun sebanyak 7.6 peratus dari tahun sebelumnya disebabkan kawalan pergerakan di kebanyakan negara yang mempengaruhi perkhidmatan berkaitan teknikal dan perdagangan.

Secara perbandingan, import komponen ini menurun lebih pantas daripada eksport sebanyak 9.3 peratus kepada RM29.8 bilion yang menyumbang kepada defisit yang lebih kecil sebanyak RM2.8 bilion

Menjelaskan perdagangan perkhidmatan Malaysia dengan 193 negara di seluruh dunia, Mohd Uzir menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah mengatasi Singapura dengan menjadi destinasi utama eksport perkhidmatan dengan nilai RM24.8 bilion, kebanyakannya dalam perkhidmatan pembuatan dan perkhidmatan perniagaan lain.

Singapura yang merupakan pasaran utama eksport sejak 2010 menjadi destinasi kedua dengan RM18.9 bilion, disebabkan oleh eksport perjalanan, diikuti oleh United Kingdom, Hong Kong dan China yang secara kolektif berjumlah RM15.4 bilion pada tahun 2020.

Sementara itu, negara pengimport teratas bagi tahun rujukan adalah Amerika Syarikat, Singapura, China, United Kingdom dan Jepun, terutamanya dalam perkhidmatan perniagaan lain dan pengangkutan.

Beliau berkata, berdasarkan Prospek Ekonomi 2021, perdagangan perkhidmatan Malaysia dijangka mengalami defisit RM30.9 bilion dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dirancang dengan teliti. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!