X

Kindly register in order to view this article
!

FAMA bantu pekebun pasarkan 300 tan labu manis

Noh melihat labu manis yang akan dipasarkan oleh pihaknya selepas membeli hasil itu daripada pekebun di daerah Pekan.
A
A

KUANTAN - Sebanyak 300 tan labu manis hasil tanaman 145 pekebun di daerah Pekan telah dibeli dan di dipasarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang.

Pengarahnya, Noh Nik Wan berkata, kesanggupan pekebun untuk menjual hasil kepada FAMA musim ini membolehkan pihaknya membantu memasarkan pengeluaran hasil pertanian berkenaan.

Menurutnya, secara tidak langsung mengelak lambakan buah berlaku, selain kesukaran untuk menjual hasil tanaman mereka.

"Kita membeli hasil mereka menggunakan harga semasa dan kebanyakan pekebun ini setiap tahun menjual hasil kepada FAMA.

"Untuk musim kali ini, Pusat Khidmat Pemasaran Fama Kuantan telah menerima antara 10 hingga 11 tan labu untuk dipasarkan kepada peruncit termasuk pemborong dalam dan luar Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, kesemua 145 pekebun ini dari tiga Kampung Pandan, Kampung Serun dan Kampung Merchong di daerah Pekan adalah peserta ladang kontrak pemasaran FAMA.

Noh (kiri) meninjau projek tanaman labu manis di kampung Serun, Pekan.
Noh (kiri) meninjau projek tanaman labu manis di kampung Serun, Pekan.

Katanya, setiap pekebun ladang kontrak pemasaran dibekalkan dengan bekas jaring hijau untuk mengisi buah labu, setiap satu diisi dengan buah seberat 20 kilogram yang akan dipindahkan ke lori.

Beliau menambah, aktiviti pemasaran labu di daerah ini dijangka berterusan selagi mendapat permintaan daripada pekebun.

"Ini kerana program tanaman pokok berkenaan dilakukan secara berperingkat bagi mengelak berlaku lambakan buah dalam satu masa.

"Pada tahun lalu, pihak kita hanya dapat membantu memasarkan kira-kira 250 tan labu manis atau labu emas 868 membabitkan kawasan tanaman seluas lebih 170 hektar," ujarnya.

Sehubungan itu, Noh berkata, pihaknya turut menyediakan bantuan benih, khidmat nasihat serta mengatur jadual menanam bermula awal tahun.

FAMA Pahang ujarnya, akan terus berusaha membantu golongan pekebun terutama membabitkan aktiviti pemasaran dalam memastikan mereka tidak berhadapan masalah hingga menyebabkan berlaku kerugian.

"Saya menasihatkan kepada pekebun yang berhadapan masalah pemasaran hasil pertanian supaya dapat menghubungi FAMA Pahang bagi diselesaikan masalah dihadapi secara bersama," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!