Pengajaran Everest jangan diremehkan

A
A
A

GUNUNG Everest sentiasa mengundang kegiuran dan godaan kepada pendaki yang mahu menaklukinya. Ada yang menaklukinya demi kemasyhuran, nama dan pujian. Tidak kurang yang mahu memanjat Gunung Everest – gunung tertinggi di dunia - demi kepuasan tersendiri.

Di Malaysia sendiri, ada penggiat tegar yang sentiasa mahu mendaki Gunung Everest. Namun, penulis agak marah berbaur kecewa apabila membaca laporan BBC News siaran 5 Februari lalu. Laporan tersebut menyebut Kerajaan China telah menutup kem asas Gunung Everest di bahagian negara itu yang berada pada ketinggian 6,000 meter (17,060 kaki) kepada pelawat yang tidak mempunyai permit pendakian demi menangani masalah pembuangan sampah yang kritikal.

Persatuan Pendaki China (CMA) mendedahkan lebih 40,000 pendaki telah sampai di kem pangkalannya pada 2015. Jumlah tersebut terus meningkat tahun demi tahun. Kem pendakian ke Gunung Everest menerusi pangkalan Tibet China sangat popular kerana ia boleh diakses dengan memandu kereta. Sedangkan kem Nepal hanya dapat dipanjat dengan pendakian hampir dua minggu.

Fenomena tersebut menyebabkan lebih ramai yang mengambil jalan pintas untuk sampai lebih cepat ke puncak Gunung Everest. Di sinilah timbul satu masalah besar yang sedang dihadapi oleh Kerajaan China. Pendaki yang tidak bertanggungjawab telah meninggalkan puluhan ribu kilogram sampah sarap.

Laporan BBC News menyatakan tiga operasi pembersihan musim bunga tahu lalu telah berjaya mengutip 8 tan metrik sisa sampah, termasuk najis manusia dan peralatan gunung yang ditinggalkan di persekitaran gunung berkenaan.

Jelas sekali, kem asas di bawah kaki Gunung Everest kini menjadi tempat pembuangan. Sebelum ini, dianggarkan 16 tan metrik sampah dikeluarkan daripada gunung tersebut. Penulis percaya yang mahu menakluki Gunung Everest datang daripada pelbagai latar belakang berbeza. Tapi, pasti ada persamaannya iaitu mereka ada akal dan fikiran.

Penjagaan alam sekitar perlu ditangani secara bersungguh-sungguh sejajar dengan perkembangan pertambahan penduduk atas dua sebab utama. Pertama, krisis yang sedang mengancam kelangsungan hidup manusia dan hidupan lain. Dengan bertambahnya penduduk Malaysia, kegiatan manusia dan pembebasan gas karbon dioksida turut bertambah.

Hasil sisa buangan dan kumbahan juga sentiasa bertambah tetapi pada masa yang sama, kesedaran tentang perlunya menjaga alam sekitar kian diabaikan. Perkara ini berlaku kerana sikap manusia yang sombong dan sikap tidak bertanggungjawab sebagaimana pesanan ALLAH SWT dalam Surah Al-Isra’ [17:37] bermaksud: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”

Artikel Berkaitan:

ALLAH juga telah memberi pengingatan akibat sikap kurang bertanggungjawab manusia terhadap alam sekitar ini dalam Surah Ar-Ruum [30:41] yang maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Oleh kerana pentingnya penjagaan alam sekitar, ALLAH mengulangi peringatan tentang keperluan menjaga alam sekitar sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Oleh yang demikian, penulis ingin memberi pesanan kepada masyarakat supaya bertindak waras dan rasa bertanggungjawab untuk menjaga persekitaran muka bumi Malaysia ini.

Dalam Surah Al-Qashash [28:77], ALLAH dengan jelas menyampaikan maksud-Nya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagian mu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana ALLAH telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan".

Sekiranya hamparan muka bumi ALLAH ini tidak diperlekehkan penghuni-Nya, fatamorgana pencemaran alam sekitar tidak akan berlaku, sebagai pesanan Surah An-Naba’ [78:6-20] menyatakan maksudnya: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan?; dan gunung-gunung sebagai pasak?; dan Kami jadikan kamu berpasang-pasangan; dan Kami jadikan tidur mu untuk istirehat; dan Kami jadikan malam sebagai pakaian; dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan; dan Kami bangun di atas kamu tujuh buah (langit) yang kukuh; dan Kami jadikan pelita yang amat terang (matahari); dan Kami turunkan dari awan air yang banyak tercurah; supaya Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan; dan kebun-kebun yang lebat?; Sesungguhnya Hari Keputusan adalah suatu waktu yang ditetapkan; yaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang; dan dibukalah langit, maka terdapatlah beberapa pintu; dan dijalankanlah gunung-gunung maka menjadi fatamorgana lah ia.”

Apa yang berlaku di Gunung Everest, sedikit sebanyak pasti melarat ke gunung-gunung di negara kita. Saban minggu, penulis melihat pelbagai ekspedisi memanjat pelbagai gunung di negara ini. Penulis percaya mungkin rakyat Malaysia lebih bijak orangnya.

Akan tetapi, pihak berkuasa tempatan wajar mengambil sikap berwaspada. Perlu ada pemantauan dan pemeriksaan terhadap kawasan pergunungan di Malaysia. Adakah gunung-gunung di Malaysia bersih daripada sampah sarap? Perlu ada pasukan yang mesti melihat pada setiap puncak gunung untuk mendapatkan kepastian adakah ia bersih daripada timbunan sampah-sarap.

Walaupun penyelesaian isu sampah ini dapat ditangani menerusi proses kejuruteraan, tetapi penyelesaian tidak akan ada kesudahannya selagi masyarakat bersikap rakus membuat kerosakan dan dingin terhadap penjagaan alam sekitar. Jangan sampai berlaku fenomena yang dialami Kerajaan China. Mereka perlu membayar US$ 2 (RM8.14) bagi setiap 1kg diangkat oleh sherpa di pangkalan asas berdekatan Gunung Everest.

*Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)