Lebih 1.18 juta lengkapkan dos kedua pada Selasa

Sehingga Selasa seramai 1,180,744 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 masing-masing.
Sehingga Selasa seramai 1,180,744 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 masing-masing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi pada Selasa dengan pemberian sebanyak 151,309 dos selepas ia dilaksanakan bermula 24 Februari lepas.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, daripada keseluruhan dos yang diberikan pada Selasa, seramai 105,722 individu mendapat suntikan pertama.

"Sementara itu, 45,587 lagi menerima dos kedua," demikian menurut jawatankuasa itu menerusi laman Twitternya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga Selasa seramai 1,180,744 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 masing-masing.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya berkata, seramai 2,609,377 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,790,121 dos setakat Selasa.

Beliau berkata, lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 152,215 dos diikuti Sarawak (124,820), Kuala Lumpur (108,740), Perak (108,361) dan Johor (107,192).

Pada Selasa, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai ini.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, jumlah itu kemudian akan ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

Artikel Berkaitan:

Setakat Selasa, 52.7 peratus atau 12,774,132 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,367,090 orang.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu. - Bernama