Lelaki maut dipercayai langgar kerbau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Kionsom, Kota Kinabalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Kionsom, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang dipercayai terlanggar kerbau dalam kejadian di Jalan Kionsom, di sini, malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu, mangsa Muhizan Simon, 25, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Inanam menuju ke rumah rakannya di Kampung Kionsom.

"Menurut keterangan saksi mangsa dilihat terbaring dalam keadaan parah manakala ada seekor kerbau yang cedera di tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, saksi itu turut memaklumkan kerbau itu kemudian lari dari lokasi kejadian.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas pada jam 8.03 malam.

"Siasatan lanjut juga mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian mangsa. Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: