Peniaga rokok seludup ke penjara

Khairul Amin Ali, 56, dihantar ke Penjara Marang selepas gagal menjelaskan jaminan RM8,000 yang ditawarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga rokok seludup terpaksa akur dihantar ke Penjara Marang selepas gagal menyediakan wang jaminan RM8,000 yang ditawarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menawarkan jaminan berkenaan selepas tertuduh, Khairul Amin Ali, 56, dari Losong Haji Long, di sini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai jenama rokok terlarang bernilai RM1,647.20.

Terdahulu, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenama rokok yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017, di sebuah kiosk tepi jalan, Jalan Hiliran, Kampung Hiliran, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, pada 14 Febuari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi nilaian atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak kurang 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.