Lebih sejuta murid Mexico kembali ke sekolah

Suhu badan seorang murid diperiksa sebelum dia dibenarkan memasuki sekolah di bandar raya Mexico pada Isnin lalu. - Foto: AFP
Suhu badan seorang murid diperiksa sebelum dia dibenarkan memasuki sekolah di bandar raya Mexico pada Isnin lalu. - Foto: AFP
A
A
A

BANDAR RAYA MEXICO - Lebih sejuta murid di Mexico kembali ke sekolah pada Isnin buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun berikutan kelonggaran langkah 'lockdown' di negara itu akibat pandemik Covid-19.

"Saya teruja dan sedikit gementar (untuk pergi ke sekolah)," kata seorang murid yang berusia sembilan tahun, Garcia seperti dilaporkan oleh AFP.

Dia memakai pelitup muka dan diiringi oleh datuknya yang menyerahkan sijil kesihatan bagi memastikan cucu perempuannya itu tidak mendapat sebarang jangkitan Covid-19.

Garcia juga menggunakan gel antibakteria yang disediakan oleh guru-guru manakala suhu badannya turut diperiksa sebelum dia memasuki sekolah.

Sekolah-sekolah di 13 daripada 32 buah negeri dibenarkan dibuka oleh kerajaan selepas ditutup kerana kes-kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19.

Kementerian Pendidikan berkata, seramai 1.6 juta kanak-kanak di lebih 24,000 sekolah menghadiri kelas secara bersemuka pada Isnin.

Murid-murid akan hanya menghadiri kelas selama dua hari seminggu.

Kelas-kelas itu pula berlangsung selama empat jam sehari manakala mereka boleh mengikuti kelas pembelajaran secara online selama dua hari lagi.

Artikel Berkaitan:

Berjuta-juta penduduk di Mexico telah menjalani pembelajaran dengan menggunakan internet dan televisyen sejak Ogos tahun lalu sekali gus ia menjadi satu cabaran buat keluarga yang tidak mempunyai kemudahan itu.

Mexico mencatatkan lebih suku juta kematian akibat Covid-19 dan merupakan antara negara yang teruk dilanda Covid-19.

Namun, AFP melaporkan, berikutan situasi Covid-19 yang semakin baik di negara itu selepas jangkitan pandemik tersebut meningkat pada permulaan tahun ini telah menyebabkan Mexico beransur-ansur kembali kepada kehidupan normal. - Agensi