X

Kindly register in order to view this article
!

Tempurung kelapa sumber rezeki semasa PKP

Yusran menunjukkan bekas minuman yang dihasilkan menggunakan dua tempurung.
A
A

KOTA BHARU - Seorang bapa anak lima di sini berjaya menghasilkan pelbagai produk kraftangan daripada tempurung kelapa sebagai sumber pendapatan ketika negara menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Yusran Hamat, 49, yang sebelum ini mengambil upah menjual barang kitar semula mengakui pelaksanaan PKP menyebabkan sumber rezekinya agak terjejas, sekali gus memaksa diri mencari alternatif lain untuk menyara keluarga.

Menceritakan tentang idea tempurung kelapa tersebut, Yusran memberitahu, beliau pergi ke sebuah kedai runcit berhampiran kediamannya di Pantai Sabak di sini untuk membeli barang dapur namun semasa ingin pulang, beliau terlihat banyak tempurung kelapa terbiar di kedai tersebut yang diletakkan di dalam guni.

Selepas berbincang dengan pemilik kedai tersebut, Yusran diberi kebenaran mengambil tempurung kelapa tersebut kerana lazimnya ia dibuang.

"Sampai di rumah, saya bincang dengan isteri, Fazilah Ab Ghani, 45, dan kami cari idea bagaimana untuk hasilkan kraftangan daripada tempurung tersebut.

"Kami buka YouTube, kaji video-video bagaimana tempurung kelapa ini boleh dibuat hiasan dan sebagainya. Alhamdulilah, kami jumpa 'cikgu' kami dalam video tersebut dan ikut sebagaimana yang diajar," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Niat ingin mencuba

Menurutnya, selepas beberapa kali percubaan, akhirnya Yusran berjaya menghasilkan produk kraftangan tersebut dengan baik walaupun masih memerlukan penambahbaikan.

Berkat kegigihan dan sokongan isteri, ia membakar semangat Yusran untuk terus menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan tempurung tersebut walaupun agak buntu dengan kaedah untuk memasarkannya.

Bermula dengan mangkuk kunci, kini Yusran telah menghasilkan pelbagai jenis produk lain seperti bekas pensil, bekas air, lampu, tabung, bekas habuk rokok dan sebagainya.

Menurut Yusran, tempoh yang paling cepat untuk menghasilkan sesuatu produk adalah dua jam dan paling lama adalah setengah hari.

Yusran turut bercadang mahu perkenalkan hasil tangannya itu melalui penggiat industri pelancongan negeri selepas ini.
Yusran turut bercadang mahu perkenalkan hasil tangannya itu melalui penggiat industri pelancongan negeri selepas ini.

Bagaimanapun, Yusran kesukaran menghasilkan produk-produk tersebut tidak diterjemahkan pada harga, sebaliknya menjual pada harga antara RM5 hingga RM20.

Yusran mengakui, pada mulanya beliau kurang berkeyakinan untuk menerima tempahan memandangkan apa yang dilakukannya dalam kategori 'percubaan', sedangkan pembeli rata-rata mahukan yang terbaik, terutama mereka yang mahu menjadikan produk tersebut sebagai cenderamata.

Mangkuk air batu kacang hasil rekaan Yusran yang mendapat tempahan daripada beberapa buah kedai makan berjaya meningkatkan keyakinan dirinya.

"Selepas itu, baru saya yakin dan berani untuk jual semua ciptaan saya ini. Kini saya sedang mengintai pasaran luar Kelantan sebab ramai orang luar suka kraftangan dari negeri ini," katanya.

Murah tapi berkualiti

Yusran memberitahu, walaupun harga produknya agak murah namun itu bukan ukuran kerana baginya, sebaliknya kualiti lebih penting bagi memastikan pembeli gembira dengan barangan berkenaan.

Justeru, beliau akan memastikan penyediaan barangan asas adalah dalam keadaan baik, terutama tempurung yang digunakan.

"Kita akan pastikan tempurung yang kita guna adalah yang terbaik. Tempurung-tempurung ini akan dicat, dicanai dan sentuhan akhir sebelum ia dijual.

Sebelum diletakkan cat, ia akan dikeringkan bagi memastikan tempurung tersebut akan tahan lama.
Sebelum diletakkan cat, ia akan dikeringkan bagi memastikan tempurung tersebut akan tahan lama.

"Kalau tempurung tidak elok, maka amat susah untuk saya reka apa-apa produk sekalipun sebab ia mudah pecah," kata Yusran.

Pihaknya juga sedia menerima tempahan jika ada yang berhasrat menjadikannya sebagai buat hadiah atau buah tangan.

"Walaupun murah, hadiah ini dilihat sebagai cukup bermakna bagi sesetengah orang kerana ia dihasilkan dengan penuh ketelitian," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!