X

Kindly register in order to view this article
!

‘Mungkin hari ini atau esok’

Sidang Parlimen secara hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya bakal membuka suatu perspektif baharu bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dijangka membuat pengumuman penting berhubung pembukaan semula Parlimen secara hibrid dalam waktu terdekat.

Difahamkan, satu kenyataan sedang dalam peringkat akhir dan menunggu kelulusan untuk diumumkan secara rasmi.

“Mungkin akan diumumkan hari ini atau esok, kena tunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan,” kata satu sumber ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada 4 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19 dan program pemulihan di semua peringkat.

Ekoran itu, satu mesyuarat secara maya diadakan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan.

Perbincangan itu merangkumi persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid meliputi aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember 2020.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa pada 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan menggariskan sebarang peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, tidak mempunyai kesan dan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, mana-mana mesyuarat Parlimen sebelum tarikh permulaan kuat kuasa ordinan itu, tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

Jemaah menteri pada 3 Mac lalu membuat keputusan tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat selepas mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Hal itu kerana Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong cari jalan selesai kemelut negara

Kerajaan perpaduan bukan keutamaan Al-Sultan Abdullah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!